top of page
nabalunews

ORANG RAMAI DIALU-ALUKAN DERMA DARAH DI PEKAN INANAM 7 FEB



2 FEB 2021


KOTA KINABALU: Kesedaran berhubung kekurangan bekalan darah di hospital menimbulkan rasa tanggungjawab untuk membantu dengan menganjurkan kempen derma darah di pekan Inanam, Ahad ini.


Kempen yang dianjurkan bersama gabungan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sekitar Inanam itu akan diadakan di Tugu Peringatan Inanam bermula jam 9 pagi hingga jam 3 petang.


Pengerusi Penganjur kempen Datuk Wong Thien Fook berkata, kempen derma darah itu diadakan dengan kerjasama Persatuan Thalassaemia Sabah, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Kota Kinabalu, Persatuan Penderma Darah Sabah (Pendarah) dan Hospital Queen Elizabeth.


Katanya, ia bukan saja dapat memberi kesedaran awam tetapi juga membantu mengurangkan masalah kekurangan tabung darah di hospital.


“Kita menerima makluman bahawa bekalan darah di hospital mengalami kekurangan sejak akhir-akhir ini dipercayai berikutan penularan pandemik Covid-19.


“Difahamkan jumlah mereka yang memerlukan bekalan darah amat tinggi ketika ini, sebab itu kami menganjurkan kempen derma darah untuk membantu,” katanya ketika ditemui, hari ini.


Wong berkata, walaupun menyedari pergerakan masyarakat sangat terhad tetapi beliau amat menggalakkan orang ramai untuk tampil menderma darah.


“Kita sedar cabaran ketika pandemik Covid-19 adalah untuk menjaga keselamatan setiap penderma, namun langkah sepatutnya sudah diambil bagi memastikan proses ini berjalan lancar.


“Mungkin kita tidak dapat membantu kesusahan orang dengan wang ringgit, tetapi dengan adanya program derma darah ini, sudah pasti kita memberi kesihatan kepada orang yang memerlukan," katanya.


Sehubungan itu, Wong berkata, pihak gabungan KRT Inanam mengalu-alukan masyarakat kawasan sekitar untuk datang menderma darah.


“Namun kita perlu menuruti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan supaya semua kita selamat daripada jangkitan Covid-19," katanya.

Comments


bottom of page