Orang ramai dijemput memeriahkan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang pada 22 Mei
14 Mei 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang yang berlangsung pada 22 Mei ini, menampilkan pelbagai acara menarik untuk menghidupkan semangat Kaamatan di kalangan warga tempatan.
Pegawai Daerah Penampang, Francis Chong, berkata bahawa Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick yang juga Ahli Parlimen Penampang, akan merasmikan acara tersebut di Dewan Buhavan Square, Donggongon.
"Kita menjemput orang ramai hadir dan memeriahkan pelbagai acara yang dianjurkan bertujuan untuk memberikan suasana Kaamatan yang sebenar untuk dinikmati khasnya kepada warga Penampang, antaranya pertandingan sukan tradisi, pertandingan masakan tradisional, pertandingan ‘Magagung’ dan pertandingan sumazau yang akan diadakan di Padang B, Lembaga Sukan Penampang," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang di Pejabat Daerah Penampang.
Selain itu, acara Sodop Unduk Ngadau juga akan diadakan di Putra Ballroom, Bukit Padang pada 16 Mei ini.
Pertandingan Akhir Sugandoi Penampang telah berlangsung pada empat Mei lepas di Pentas Terbuka Kadazan Dusun Cultural Association Sabah (KDCA) dan pada 18 Mei kelak akan diadakan pameran pelbagai jabatan serta agensi kerajaan.
Kommentare