top of page
Wartawan Nabalu News

Orang ramai kunjung Tamu Donggongon dengan pematuhan SOP ketat


28 Oktober 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Setelah berbulan lamanya ditutup akibat pandemik Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Tamu Donggongon kini telah dibuka kepada orang ramai.


Tinjauan Nabalu News mendapati orang ramai mula datang ke tamu tersebut sejak ianya di buka pada Rabu lalu dengan pematuhan standard operasi (SOP) yang ketat.

Salah satu pengunjung di tamu tersebut, Ryan Joe, 28, berkata beliau lega akhirnya tamu tersebut telah dibuka kerana beliau tidak perlu lagi ke pasaraya untuk membeli sayur-sayuran.


“Walaupun pasaraya juga ada menjual pelbagai sayur-sayuran, tetapi sayur-sayuran di tamu lebih segar berbanding yang dijual di pasaraya.

“Saya berharap lebih ramai orang yang akan datang ke tamu ini untuk membeli barang-barangan yang dijual oleh para petani kita kerana ini secara tidak langsung dapat membantu ekonomi mereka,” katanya.


Sementara itu, seorang lagi pengunjung, May Serena yang berasal dari Kota Belud berkata beliau sudah lama menanti pembukaan Tamu Donggongon kerana ia mempunyai keunikannya sendiri.


“Saya menetap di Kota Kinabalu tetapi suka berkunjung ke Tamu Donggongon kerana bukan sahaja terdapat beraneka makanan yang dijual, para peniaga juga amat mesra.

“Sejurus mengetahui bahawa Tamu Donggongon telah dibuka semula, saya bergegas ke sini kerana ingin membeli sayur-sayuran untuk menyokong peniaga tempatan yang sudah lama kehilangan sumber pendapatan akibat pandemik.


“Saya berharap tamu ini jangan lagi ditutup. Cukuplah peniaga tempatan terseksa akibat terputus punca pendapatan. Oleh itu, saya menyeru pihak berkuasa agar mengawal ketat kehadiran pengunjung di sini bagi mengelak tercetusnya jangkitan Covid-19,” kata wanita berusia 36 tahun itu.


Selain itu, salah satu peniaga yang ingin dikenali sebagai Ron berkata beliau bersyukur bahawa beliau kini dapat kembali berniaga di tamu tersebut setelah sekian lama ianya ditutup.

“Ini adalah hari pertama saya membuka gerai jualan saya. Sebelum ini, semasa tamu ini ditutup, saya menjual ikan di Kundasang.


“Pada hari ini, ramai juga pengunjung yang datang, tetapi tidak seramai seperti dulu. Kebiasaanya pada waktu pagi baru ramai orang yang datang.


“Saya rasa mungkin dalam minggu depan, baru ramai orang yang datang ke tamu ini herana tamu ini baru sahaja dibuka dan ramai yang belum tahu. Tapi sekarang ini sudah ada media sosial seperti Facebook dan Whatsapp, jadi ramai lah yang akan tahu nanti,” katanya sambil bersenda.


Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga Donggongon Tamu John Gintos berkata tamu Donggongon meminta para pengunjung untuk mematuhi SOP baharu dan hanya yang lengkap vaksin sepenuhnya akan dibenarkan masuk.


Kanak-kanak dan individu yang mempunyai risiko kesihatan juga tidak digalakkan mengunjungi tamu tersebut buat masa ini.

Comentarios


bottom of page