Paderi berusia 75 tahun ditemui maut kereta terjunam di parit
27 November 2024
KAPIT: Seorang paderi berusia 75 tahun, Bangau Amping, ditemukan maut selepas kenderaan dipandunya terjatuh ke dalam parit yang dilimpahi air banjir berhampiran Rumah Engking Sungai Amang, Jalan Selirik, pagi tadi.
Kejadian tersebut hanya disedari selepas air banjir mula surut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kapit, Timothy Barat, memaklumkan bahawa pasukan bomba menemukan mayat mangsa terperangkap di dalam kereta.
“Mayat mangsa ditemukan terperangkap di dalam kereta oleh pasukan bomba yang bergegas ke lokasi kejadian. Orang awam juga tidak mengetahui bila kenderaan tersebut terbabas ke dalam parit,” katanya, lapor Berita RTM.
Beliau menjelaskan bahawa kawasan parit berkenaan ditenggelami air banjir, menyukarkan penduduk untuk menyedari insiden itu sehingga paras air menurun pagi tadi.
Selain itu, Timothy memaklumkan pihak bomba telah menjalankan pemeriksaan di 11 lokasi yang dilaporkan terjejas akibat banjir dan tanah runtuh di sekitar Kapit.
Comments