Pasangan suami isteri cedera dalam kemalangan lori di Pitas
- nabalunews
- 1 hour ago
- 1 min read

22 April 2025
PITAS: Sepasang suami isteri cedera di bahagian kaki selepas lori tiga tan yang mereka naiki terbabas ke dalam parit dalam satu kejadian kemalangan jalan raya di Jalan Kanibungan, berhampiran SK Rukom, awal pagi Selasa.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada jam 12.40 pagi, dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas tiba di lokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian.
Menurut Komander Operasi, PBK II Jamaldin Akuk, kemalangan melibatkan sebuah lori Hino tiga tan yang membawa muatan barangan runcit telah terbabas sendiri ke dalam parit.
"Terdapat dua orang mangsa terlibat dan kedua-duanya berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas," katanya.
Mangsa, seorang lelaki berusia 53 tahun dan seorang wanita berusia 21 tahun, disahkan mengalami kecederaan di bahagian kaki dan telah diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke Hospital Pitas bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi melibatkan tujuh anggota dari BBP Pitas dengan kekuatan satu jentera FRT, serta kerjasama agensi lain termasuk tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua anggota KKM.
Comments