top of page
  • nabalunews

Pastikan anak-anak dihantar ke TASKA berdaftar di bawah JKM – KPWKM


Gambar hiasan

9 September 2024


KUALA LUMPUR: Ibu bapa serta penjaga digesa agar sentiasa mengambil tahu dan mengambil peduli untuk memastikan anak-anak mereka hanya dihantar ke Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengelakkan berlakunya kes seperti kecuaian, pengabaian dan penderaan.


Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan, TASKA berdaftar antara lain akan dipantau dan diperiksa secara berkala oleh JKM.


Pemeriksaan mengejut oleh Pegawai Yang Diberi Kuasa juga akan dibuat sekurang-kurangnya dua kali setahun.


“Selain itu, satu Garis Panduan Khas Tindakan Penguatkuasaan dan Perintah Penutupan ke atas TASKA serta Pusat Jagaan yang dalam siasatan polis juga telah dikeluarkan berkuat kuasa pada 10 April 2023.


“Garis panduan ini bagi memastikan tindakan segera dapat diambil bagi kes melibatkan taska dan pusat jagaan yang dalam siasatan polis kerana disyaki terdapat kes penderaan, pengabaian atau mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak,” kata Kementerian itu dalam satu kenyataan, semalam.


KPWKM memaklumkan terdapat prasyarat untuk setiap pengasuhnya mempunyai Sijil Kursus Asuhan Permata (KAP) bagi pendaftaran TASKA.


Kementerian itu memaklumkan terdapat pelbagai tindakan proaktif telah dilaksanakan dalam usaha melindungi kanak-kanak daripada kejadian tidak diingini di taska.


Ini termasuk operasi pemutihan TASKA yang telah dilaksanakan mulai September tahun lalu, dengan JKM telah mengenal pasti 1,080 taska di seluruh negara yang tidak berdaftar.


Tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan supaya pihak yang terlibat segera membuat pendaftaran.


Sejak 2020 pula, KPWKM melalui JKM telah mengeluarkan 76 arahan bertulis, perintah penutupan sementara (4), pembatalan perakuan pendaftaran (218), tindakan Lak (7), kompaun (17) dan pendakwaan (2).


Menurut kementerian itu orang ramai boleh memperoleh senarai TASKA berdaftar melalui semakan di laman sesawang JKM di www.jkm.gov.my.


“Orang ramai juga diseru membuat aduan kepada Talian Kasih di 15999 atau nombor WhatsApp 019-2615999 atau menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang berhampiran sekiranya mendapati terdapat taska yang tidak berdaftar,” menurut kenyataan itu.


­

Comments


bottom of page