top of page
nabalunews

Pastikan GRS-PH Plus menang kerusi DUN Melalap pada PRN akan datang - Hajiji



21 September 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


TENOM: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mahu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) memastikan kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap pada Pilihanraya Negeri akan datang.


"Kita tidak mahu rakyat kita di Melalap rugi kerana diwakili pembangkang. Oleh itu saya mahu kita bersatu hati bagi memastikan kemenangan bergaya bagi GRS-PH Plus di DUN Melalap ini" katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Melalap di Dewan SM Tshung Tsin di sini, hari ini.


Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata beliau selalu menyatakan kepada pemimpin-pemimpin untuk belajar daripada kesilapan lampau di mana Sabah ketinggalan akibat perpecahan.


"Di Sabah, sejarah politik kita asyik bergaduh. Ini harus jadi pengajaran, kalau kita bersatu hati dan bersandarkan kepada SMJ, negeri Sabah akan mendapat perubahan yang begitu besar di masa hadapan.


"Gagasan Rakyat merupakan sebuah parti berbilang kaum dan inilah matlamat perjuangan kita untuk membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada semua tanpa mengira kaum, agama dan keturunan" katanya.


Hajiji berkata, berkenaan usul-usul yang diluluskan Gagasan Rakyat Bahagian Melalap semasa Mesyuarat Tahunannya, beliau memberi jaminan akan meneliti dan menimbangnya sebaik mungkin.


"Terutamanya berkenaan tanah, terdapat banyak permohonan yang dibuat bertahun lamanya tetapi sehingga sekarang belum mendapat kelulusan. Saya sendiri ingin tahu mengapa ini terjadi.


"Terdapat tanah perkampungan yang didirikan dalam kawasan Hutan Simpan. Kita akan keluarkan supaya rakyat kita dapat tinggal di atas rezab kampung yang sah.


"Saya ingat setelah kita ambil alih kerajaan beribu-ribu ekar tanah telah kita keluarkan daripada Hutan Simpan di seluruh Sabah. Saya akan ambil perhatian yang serius tentang isu yang sama di daerah ini" katanya.


Di majlis ini, Hajiji turut menerima 1,500 borang keahlian baharu untuk menyertai Gagasan Rakyat Bahagian Melalap.


Beliau turut menyampaikan sumbangan ikhlas kepada mangsa bencana alam yang melanda Tenom pada 17 September lalu.


Turut hadir Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Melalap Datuk Jamawi Jaafar, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kemabong Datuk Rubin Balang, Bendahari Agung Gagasan Rakyat Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, ketua-ketua bahagian, ketua-ketua komponen GRS dan Pakatan Harapan.

Comments


bottom of page