top of page
  • nabalunews

Pasukan MALBATT Selamat, Kenderaan Diserang Orang Awam di Lubnan


20 September 2024


KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan bahawa anggota Batalion 850-11 (MALBATT 850-11) yang berkhidmat di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan terlibat dalam satu insiden serangan oleh sekumpulan orang awam tempatan.


Bagaimanapun, kesemua anggota terbabit disahkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.


Menurut kenyataan rasmi ATM, insiden itu berlaku pada Rabu, kira-kira jam 11.32 malam waktu Malaysia. Ketika kejadian, tiga pegawai bersama tujuh anggota lain-lain pangkat sedang dalam perjalanan pulang ke Kem Marakah setelah menyelesaikan misi perlindungan (force protection) di Kem Shama, yang merupakan Markas UNIFIL.


Dalam kejadian itu, kenderaan yang dinaiki oleh pasukan MALBATT mengalami kerosakan dan diserang oleh sekumpulan orang awam tempatan yang bertindak agresif. Walaupun kenderaan pasukan mengalami kerosakan akibat serangan tersebut, tindakan pantas dan tenang daripada anggota pasukan berjaya mengelakkan keadaan daripada menjadi lebih buruk.


"Ketika pasukan berkenaan melalui laluan di Tes Road-Burj Al Qibli di bandar Tyre, satu kesesakan luar biasa berlaku di mana ramai orang awam sedang mengawal lalu lintas dan banyak kenderaan ambulans serta bomba melalui dari kedua-dua arah.


"Secara tiba-tiba, sekumpulan orang awam bertindak agresif dengan cuba memberhentikan kedua-dua buah kenderaan jenis Fitted For Radio (FFR) MALBATT," menurut kenyataan itu.


Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa hampir 30 orang awam membaling batu dan memancitkan kesemua tayar kenderaan pasukan menggunakan senjata tajam.


“Bagi mengelak kejadian yang lebih buruk, kedua-dua buah kenderaan telah berhenti di tepi jalan dan kekal berada di dalam kenderaan sehingga Lebanon Armed Forces (LAF) tiba di lokasi untuk mengiringi kedua-dua kenderaan pulang.


“Kesemua anggota berserta kenderaan telah tiba di Kem Marakah dengan selamat pada 1.39 pagi waktu Malaysia atau 7.39 malam waktu Lubnan, bagaimanapun kedua-dua buah kenderaan mengalami beberapa kerosakan,” menurut kenyataan itu.


MALBATT 850-11 akan meneruskan rutin tugasan seperti yang ditetapkan oleh UNIFIL, dan semua pihak diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden tersebut yang boleh mencemarkan imej ATM khususnya dan Kementerian Pertahanan amnya.

Comments


bottom of page