top of page

Pasukan Sinurai Juara Bola Tampar DUN Kundasang

  • nabalunews
  • Apr 8
  • 2 min read


8 April 2025


RANAU: Pasukan bola tampar Kampung Sinurai muncul juara dalam Kejohanan Bola Tampar Kategori Lelaki bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Malinsau dan PDM Mangkapoh yang berlangsung, 5 April lalu.


Naib johan dimenangi pasukan Kampung Sumbilingon manakala tempat ketiga pula disandang oleh pasukan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Sugud, yang mewakili Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Ranau.


Penyertaan pasukan sekolah kali ini memberi warna baharu kepada kejohanan yang sebelum ini hanya disertai oleh pasukan dari kampung-kampung sekitar.



Pengerusi Penganjur, Leester Dalimon berkata, kejohanan itu disertai enam pasukan yang mewakili kampung masing-masing di bawah PDM Malinsau dan Mangkapoh, DUN Kundasang.


Katanya, penyertaan daripada pelbagai lapisan komuniti membuktikan semangat kesukanan dan setiakawan masih utuh dalam kalangan masyarakat luar bandar.


“Matlamat utama kita ialah untuk mengeratkan silaturahim antara kampung, selain menyemai semangat kesukanan terutamanya dalam kalangan belia.



“Selain itu, ia juga bertujuan mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan bola tampar agar mereka berpeluang diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya ketika ditemui pada penutupan penyampaian hadiah, semalam.


Leester yang juga Ketua Pemuda UPKO Ranau berkata, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu menjayakan kejohanan kali ini.


“Kejohanan berlangsung dengan lancar dan menyaksikan komitmen tinggi daripada semua pihak khususnya Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick yang tampil memberi sokongan dana.



“Begitu juga dengan semua ahli jawatankuasa pelaksana yang memastikan segala perjalanan kejohanan berjalan sempurna.


“Pemuda UPKO Bahagian Ranau akan terus menganjurkan lebih banyak aktiviti sukan di masa akan datang berdasarkan pelan yang telah dibincangkan dalam mesyuarat pemuda sebelum ini,” katanya.


Sementara itu, Leester berkata, penganjuran seperti ini bukan saja membina perpaduan antara komuniti, malah ia menjadi pentas untuk melahirkan atlet-atlet muda berpotensi di daerah Ranau.


“Dalam kejohanan ini, ramai pemain berpotensi dikenal pasti dan saya akan mencadangkan kepada pihak pengurusan Pasukan Bola Tampar Ranau untuk diserap dalam pasukan daerah dalam kejohanan akan datang.


“Ia sudah pasti memberi ruang dan peluang kepada pemain-pemain muda mengembangkan bakat terus ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page