Paus Francis meninggal dunia pada usia 88
- nabalunews
- 3 hours ago
- 2 min read

21 April 2025
VATICAN: Paus Francis, pemimpin tertinggi Gereja Roman Katolik dan figura global yang disegani, disahkan meninggal dunia pada usia 88 tahun, menurut pengumuman rasmi yang disiarkan oleh pihak Vatican pada pagi Isnin.
Menurut kenyataan yang dibacakan oleh Kardinal Kevin Farrell menerusi saluran TV Vatican, Paus Francis menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.35 pagi waktu tempatan.
"Saudara dan saudari yang dikasihi, dengan kesedihan yang mendalam saya harus mengumumkan bahawa Bapa Suci kita, Paus Francis telah kembali ke rumah Bapa," katanya dalam siaran tersebut.
Dilahirkan dengan nama Jorge Mario Bergoglio di Argentina, Paus Francis menjadi paus ke-266 dan merupakan tokoh pertama dari benua Amerika Latin yang dipilih mengetuai Gereja Katolik, satu pelantikan bersejarah yang berlaku pada 13 Mac 2013.
Beliau meninggal dunia selepas mengalami komplikasi serius akibat serangan pneumonia berganda yang dialaminya baru-baru ini.
Sepanjang kepimpinannya, Paus Francis dikenali dengan pendekatan sederhana serta keprihatinannya terhadap golongan miskin dan terpinggir. Beliau memilih untuk menetap di kediaman komuniti berbanding apartmen mewah di Istana Apostolik demi menjaga "kesihatan psikologi" dirinya.
Pelantikan beliau datang pada saat Gereja Katolik berdepan krisis besar melibatkan skandal penderaan seksual kanak-kanak serta ketegangan dalaman di kalangan birokrasi Vatican. Paus Francis diberikan mandat untuk membawa pembaharuan dan mengembalikan keyakinan umat terhadap institusi yang berusia lebih dua milenia itu.
Dalam pentadbirannya, beliau giat mempromosikan dialog antara agama dan menyeru perdamaian dunia, selain terus menyuarakan sokongan terhadap pelarian dan golongan tertindas.
Beliau turut berkongsi tempoh kepimpinannya bersama bekas Paus Benedict XVI, yang meletakkan jawatan pada tahun 2013 dan meninggal dunia pada Disember 2022.
Dalam khutbah terakhirnya kepada umum semasa perayaan Paskah di Basilika Santo Petrus, Paus Francis menyeru agar gencatan senjata segera dilaksanakan di Gaza.
Difahamkan, sehingga Februari 2025, Paus Francis telah melantik hampir 80 peratus daripada jumlah keseluruhan kardinal yang akan bertanggungjawab memilih penggantinya kelak — satu langkah yang dilihat bakal meneruskan legasi reformasi progresif beliau, walaupun berdepan kritikan daripada golongan konservatif dalam Gereja.
Comments