PBT digesa percepat warta tanah lapang awam, elak salah guna
9 Disember 2024
TAIPING : Statistik semasa Jabatan Perancangan Bandar dan Desa menunjukkan hanya 39 peratus daripada 20,868 hektar kawasan tanah lapang awam di seluruh negara yang boleh dibangunkan, telah diwartakan.
Sehubungan itu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menggesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mempercepatkan proses pewartaan tanah lapang awam di kawasan masing-masing bagi mengelakkan ia daripada disalah gunakan oleh mana-mana pihak.
“PBT kena kemukakan kepada Pejabat Tanah dan Galian supaya dapat diwartakan secepat mungkin kerana kebanyakan tanah lapang awam diserahkan oleh pihak swasta ketika mereka membuat pembangunan sebelum mendapat kelulusan merancang.
“Terdapat tempat yang telah dirizabkan untuk tanah lapang awam dibangunkan sebagai taman namun jika tidak diwartakan, ia memberi ruang dan peluang untuk disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Nga berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Sentuhan Kejayaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tahun 2024 Jabatan Landskap Negara dan Pelancaran Dasar Landskap Negara 2.0 di sini pada Ahad.
Justeru itu, beliau berharap PBT di seluruh negara dapat mewartakan semua tanah lapang awam pada 2025 serta diberikan peruntukan oleh Jabatan Landskap Negara dan Jabatan Kerajaan Tempatan supaya ia dapat dijadikan tapak yang sesuai untuk dibangunkan.
Nga turut memaklumkan bahawa pada tahun ini, KPKT menerusi Jabatan Landskap Negara berjaya membangunkan 109 projek landskap di seluruh negara membabitkan perbelanjaan sebanyak RM51.9 juta.
Beliau berkata antara yang telah siap ialah projek Pembangunan Taman Awam Wawasan di Kepala Batas, Pulau Pinang; dua projek Landskap Perbandaran iaitu di Pekan, Pahang dan di Dungun, Terengganu.
Nga berkata pada 18 Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM96 juta untuk Jabatan Landskap Negara dalam teks ucapan Belanjawan 2025.
“Antara projek baharu yang diperuntukkan dana pada tahun depan ialah Pembangunan Taman Botani Labuan, Wilayah Persekutuan Labuan (RM5 juta); 2 projek Pelan Induk Landskap iaitu bagi Majlis Daerah Yan dan Majlis Daerah Kuala Pilah (masing-masing diperuntuk RM1 juta); 111 Taman Rekreasi MADANI serta Projek Pemuliharaan Taman Tasik Taiping (RM10 juta).
Comments