PDRM perkukuh kerjasama antarabangsa jejak Jho Low
22 November 2024
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkukuh kerjasama dengan rakan setugas antarabangsa bagi mengesan ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, yang menjadi individu penting dalam perbicaraan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, menyatakan hubungan baik PDRM dengan Polis Antarabangsa (Interpol) dan Sekretariat Polis Asean (Aseanapol) menjadi asas utama dalam usaha menjejaki keberadaan Jho Low.
“Sekiranya ada tindakan serta maklumat untuk diberikan kepada pihak kerajaan Myanmar, kita akan salurkan dan bantu mereka. Begitu juga sekiranya ada yang kita minta daripada pihak kerajaan Myanmar, mereka juga akan membantu kita.
“Semua kerjasama baik ini dicapai disebabkan kita dan Myanmar berada dalam Aseanapol,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perbarisan tamat latihan Program Latihan Asas Kepolisan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, Jumaat, lapor Sinar Harian.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Razarudin turut memaklumkan bahawa PDRM masih belum menerima sebarang maklumat terkini mengenai lokasi Jho Low daripada pihak polis Myanmar.
“Baru-baru ini juga, saya ada menyertai Perhimpunan Agung Interpol ke-92 di United Kingdom (UK) selama seminggu yang turut disertai rakan sejawatan dari negara-negara lain. Sudah pasti di situ, apa-apa maklumat yang kita ada akan dikongsi,” tambahnya.
Pada Selasa, Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa beliau percaya Jho Low sedang bersembunyi di Myanmar, negara yang kini berdepan pergolakan politik.
Dakwaan itu berdasarkan soal balas terhadap bekas penasihat undang-undang 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan, yang kini menjadi saksi penting dalam kes rasuah membabitkan Datuk Seri Najib Razak. Jasmine, yang menghilangkan diri pada 2018 sebelum menyerah diri tahun lalu, memberi keterangan yang membawa kepada andaian Jho Low dilindungi oleh pihak berkuasa di Myanmar.
Comments