Pegawai Bomba Bantuan (PBB) akan ditempatkan di semua Balai Bomba seluruh Sabah

24 Mac 2025
SANDAKAN: Seramai 94 Pegawai Bomba Bantuan (PBB) yang baharu akan ditempatkan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) seluruh negeri ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Jainal @ Zainal Madasin berkata, proses temuduga semua PBB telah selesai dijalankan.
Katanya, mereka yang berjaya akan ditempatkan di BBP khususnya yang berdepan kekurangan anggota ataupun di daerah pedalaman.
"Apabila penempatan sudah diputuskan, semua PBB akan membantu tugasan anggota dan pegawai bomba di BBP mereka ditugaskan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika melakukan lawatan kerja rasmi dan majlis berbuka puasa di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan pada Ahad.
Turut hadir Ketua Zon 6, JBPM Sandakan, Jasri Abd Jal, Ketua BBP Sandakan, Severinus Sainkui, Ketua BBP Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin dan Ketua BBP Beluran, Edoen Macheal.
Sementara itu, pada majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan amanah dan motivasi kepada anggota serta pegawai yang hadir.
Selain itu, beliau turut menyempurnakan pemakaian pangkat kepada beberapa anggota Bomba yang layak.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan bantuan bencana seperti banjir dan kecemasan yang lain, Zainal berkata, pasukan bomba di negeri ini tidak berdepan sebarang masalah.
“Semua balai bomba tidak berdepan sebarang masalah dari segi kekurangan aset kerana BBP terdekat juga sentiasa memberi bantuan sesuai keperluan semasa,” katanya.
留言