Pejalan kaki maut dipercayai akibat langgar lari
6 Februari 2025
KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia dipercayai akibat langgar lari dalam kejadian di Jalan Bunga Raja berhampiran lampu isyarat PPK Lido, di sini, kelmarin.
Kejadian disedari pada jam 8.55 malam selepas mangsa berusia lingkungan 40-an ditemui di lorong tengah jalan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir membantu di lokasi.
Katanya, siasatan mendapati, mangsa dipercayai cuba melintas jalan dari arah kiri ke kanan jalan berdasarkan kedudukan mayat di atas jalan.
“Mangsa dipercayai dirempuh kenderaan, namun setakat ini, pihak polis masih belum dapat mengenalpasti nombor pendaftaran serta jenis kereta.
“Bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengumpul bukti dan keterangan relevan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Sehubungan itu, Kasim berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian ataupun mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta untuk tampil untuk membantu siasatan.
Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Brymenedren Godon di talian 010-7768802.
Sehubungan itu, Kasim menasihati orang ramai sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalu lintas.
“Selain itu, bagi pejalan kaki juga dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan konsep melihat kiri dan kanan jalan sebelum melintas jalan, jika selamat barulah melintas jalan,” katanya.
Comentarios