top of page
nabalunews

Pejalan kaki maut dirempuh kenderaan


16 Disember 2024


KOTA KINABALU: Seorang pejalan kaki maut akibat dirempuh kenderaan ketika melintas jalan raya di Jalan Coastal berhampiran Sutera Avenue, di sini, awal pagi Ahad.


Dalam kejadian kira-kira jam 2.38 pagi itu, mangsa lelaki berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan parah selepas terpelanting ke atas bumbung kenderaan itu sebelum dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati kereta Perodua Axia yang dipandu lelaki berusia lingkungan 30-an datang dari arah Centre Point menuju ke Tanjung Aru.


“Sebaik tiba di lokasi kejadian, ketika pemandu berada di lorong kanan dengan secara tiba-tiba seorang pejalan kaki melintas jalan dari arah kiri ke kanan jalan dan menyebabkan kemalangan berlaku.


“Akibat daripada kemalangan, pejalan kaki parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas,” katanya dalam kenyataan media, pada Ahad.


Kasim berkata, hasil siasatan mendapati kecuaian pejalan kaki melintas jalan menyebabkan kemalangan berlaku.


“Di samping itu juga tidak jauh dari lokasi kejadian terdapat jejantas untuk pejalan kaki namun tidak digunakan oleh mangsa.


“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.


Kasim mengingatkan orang ramai dsupaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalu lintas.


“Selain itu pejalan kaki pula dinasihatkan supaya sentiasa menggunakan jejantas ataupun laluan pejalan kaki bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.


Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu berada di lokasi bagi membantu menurunkan mangsa yang berada di bumbung kenderaan berkenaan.

Comments


bottom of page