Pejalan Kaki Maut Dirempuh Pacuan Empat Roda
nabalunews

18 Mac 2025
KOTA KINABALU: Seorang pejalan kaki maut akibat dirempuh kereta ketika cuba melintasi Jalan Lintas, berhampiran Taman Iramanis, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 6.50 petang itu, mangsa berusia 30-an yang mengalami kecederaan parah di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian berkenaan pada jam 6.55 petang.

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati sebuah kereta jenis Mitsubishi Triton yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 20-an bergerak dari arah Kolombong menuju ke arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
“Sebaik sampai di lokasi kejadian, mangsa pejalan kaki dikatakan secara tiba-tiba menyeberang jalan daripada arah kiri ke kanan.
“Ia menyebabkan pemandu pacuan empat roda berkenaan tidak sempat mengelak dan terus melanggar pejalan kaki terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, akibat kemalangan itu, mangsa terpelanting dan tercampak di atas jalan raya sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas.
Katanya, pemandu kenderaan turut dibawa ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) untuk menerima rawatan selepas mengadu sakit di bahagian dada.
“Siasatan awal mendapati, kecuaian disebabkan oleh pejalan kaki yang cuai ketika melintas jalan sehingga menyebabkan kemalangan.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sehubungan itu, Kasim menasihatkan orang ramai agar sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalulintas.
Selain itu katanya, pejalan kaki juga dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan konsep melihat kiri dan kanan jalan sebelum melintas bagi mengelakkan insiden seperti ini berulang.
Comments