top of page

Pekerja kini tidak perlu bayar rawatan di klinik panel PERKESO

nabalunews

9 Februari 2025


BUKIT MERTAJAM: Bermula tahun ini, semua pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang mengalami kemalangan pekerjaan atau penyakit khidmat boleh mendapatkan rawatan secara PERCUMA di klinik panel tanpa perlu mengeluarkan wang sendiri.


Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong mengumumkan langkah ini bagi meringankan beban pekerja, terutama golongan berpendapatan rendah.


Dengan kemudahan ini, pencarum hanya perlu menunjukkan kad pengenalan di mana-mana 1,400 klinik panel PERKESO di seluruh negara tanpa perlu membayar satu sen pun.


“Anda (pencarum) boleh jumpa terus ke mana-mana 1,400 klinik panel PERKESO di Malaysia dan mendapatkan rawatan perubatan, tak perlu bayar apa-apa,” kata Sim dalam Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di sini malam tadi, lapor Bernama.


Sebelum ini, pekerja terpaksa mendahulukan wang sendiri, membayar sekitar RM150 hingga RM200 setiap kali rawatan sebelum menuntut bayaran balik daripada PERKESO, yang mengambil masa sebulan untuk diproses.


Namun, dengan polisi baharu ini, pekerja kini boleh terus mendapatkan rawatan tanpa sebarang beban kewangan.


Langkah ini juga memberi kelegaan kepada majikan, terutama yang prihatin terhadap kebajikan pekerja mereka.


“Ada majikan yang baik hati mahu menghantar pekerja ke klinik, tetapi perlu membayar dahulu sebelum boleh membuat tuntutan.


“Sekarang, mereka tidak perlu risau lagi. Pergi sahaja mendapatkan rawatan, dan PERKESO akan terus membayar kepada klinik,” jelas Sim.


Sepanjang tahun lalu, PERKESO mencatatkan 20,000 tuntutan ke klinik panel dengan jumlah bayaran sebanyak RM8 juta.


Dalam pada itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, sebelum ini melaporkan bahawa sebanyak 66,574 kes bencana pekerjaan dicatatkan pada 2024, menurun 2.4 peratus berbanding 68,220 kes pada 2023.

留言


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page