Pekerja Layak Terima Bayaran Tambahan Jika Bekerja Pada Hari Keputeraan TYT

25 Mac 2025
KOTA KINABALU: Pekerja di Sabah yang bertugas pada 30 Mac ini sempena Hari Keputeraan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah layak menerima bayaran tambahan mengikut kadar yang ditetapkan bagi hari kelepasan am.
Dalam satu notis makluman yang dikeluarkan, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah berkata, kelayakan tersebut diberikan sekiranya majikan tidak menetapkan tarikh berkenaan sebagai hari kelepasan.
Katanya, jika majikan menetapkan 30 Mac 2025 sebagai hari rehat, maka cuti gantian bagi Hari Keputeraan TYT Sabah akan diberikan pada 2 April 2025.

“Sekiranya sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula pada hari Isnin, pekerja yang diberikan cuti gantian akan menikmati tempoh cuti selama tiga hari, bermula 31 Mac hingga 2 April,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini, tarikh rasmi Hari Keputeraan TYT Sabah ditetapkan pada 4 Oktober setiap tahun.
“Namun, berdasarkan Jadual Pemberitahuan Warta No. 88 bertarikh 6 Mac 2025, tarikh tersebut telah dipinda kepada 30 Mac 2025,” katanya.
Sehubungan itu, JTK Sabah menasihatkan majikan dan pekerja untuk merujuk kepada peraturan berkaitan panduan penetapan cuti bagi memastikan pematuhan terhadap hak pekerja.
Comments