top of page
  • nabalunews

Pelabur asing kembali ke pasaran Malaysia berikutan ekonomi dan ringgit yang meningkat



22 Ogos 2024

 

KUALA LUMPUR: Malaysia semakin diiktiraf sebagai destinasi utama bagi pelabur asing di Asia Tenggara, dengan peningkatan pelaburan kini kembali memasuki pasaran tempatan.

 

Menurut laporan Reuters, pelabur asing telah kembali melabur secara konsisten di Malaysia, didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang semakin memberangsangkan, pentadbiran kerajaan yang stabil, dan pengukuhan prestasi ringgit.

 

Bulan lalu sahaja, sebanyak USD 1.75 bilion telah disuntik ke dalam pasaran hutang negara, rekod tertinggi tahun ini, berikutan ketidaktentuan politik di negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

 

Bursa Malaysia turut berada dalam trajektori menaik dan dijangka mencatat prestasi paling kukuh dalam dekad ini. Laporan sama menyebut bahawa penganalisis yakin ringgit telah menerima manfaat besar daripada perkembangan ini, dengan mata wang tempatan itu muncul sebagai yang paling cemerlang di Asia setakat ini.

 

Mata wang tempatan ini dijangka terus mengukuh apabila Rizab Persekutuan Amerika Syarikat mula menurunkan kadar faedah, yang seterusnya meningkatkan daya tarikan bon Malaysia.

 

Pengurus portfolio strategi bon pasaran baru muncul dinamik T. Rowe Price, Leonard Kwan, menyifatkan prestasi ringgit sebagai mengejutkan, dengan kebanyakan pulangan diperoleh daripada prestasi mata wang itu sendiri, bukan hanya bon.

 

Kwan juga berpendapat kebangkitan Malaysia didorong oleh ekonomi yang berkembang pada kadar terpantas dalam tempoh 18 bulan pada suku kedua tahun ini, di samping persekitaran politik yang stabil sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

 

Pada Khamis lalu, ringgit mencapai paras tertinggi dalam tempoh 18 bulan berbanding dolar Amerika, dengan kenaikan melebihi 5% tahun ini. Perubahan ini sangat ketara berbanding awal tahun ini apabila ringgit berada hampir pada paras terendah dalam tempoh 26 tahun.

Comments


bottom of page