top of page
  • nabalunews

Pelaburan Digital RM185.3 Bilion Diluluskan Bagi Tempoh 2021 hingga Jun 2024 – PM Anwar

21 September 2024


KUALA LUMPUR: Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pilihan pelaburan digital apabila pelaburan berjumlah RM185.3 bilion telah diluluskan sepanjang tempoh dari 2021 hingga Jun 2024.


Antara pelabur utama termasuklah syarikat-syarikat teknologi global terkemuka seperti NVIDIA dan Amazon Web Services (AWS), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Dalam hantaran di akaun media sosial X semalam, beliau berkata kerajaan, melalui inisiatif Pejabat Pelaburan Digital, terus berusaha untuk menarik pelaburan dalam bidang digital yang strategik.


Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) Bil.2/2024.


“Saya terus dimaklumkan kemajuan dan pelaporan terkini bagi pelaksanaan Fasa 2 Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) dan Dasar 4IR Negara (D4IRN) yang menunjukkan perkembangan positif.


“Antaranya termasuk 21 daripada 25 projek digital kerajaan, yang disasarkan untuk dicapai sehingga 2025, telah diintegrasikan dengan teknologi revolusi industri keempat (4IR),” kata beliau.


Perdana Menteri berkata mesyuarat juga telah mengambil maklum mengenai status pelaksanaan rangkaian 5G negara, iaitu antara yang terpantas di dunia, dengan Malaysia mencatatkan 82 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk.


“Namun, saya tegaskan terdapat keperluan untuk memperluaskan lagi perkhidmatan 5G ke seluruh negara dengan keutamaan diberikan di kawasan perindustrian, perkhidmatan kritikal, sekolah dan terutama dalam kalangan institusi pengajian tinggi awam,” kata Anwar.

Comentários


bottom of page