Pelajar Kolej Vokasional Keningau tersenarai finalis Anugerah Global Student Prize
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_9e638cc9881c4a4080637eb7497a39a4~mv2.jpeg/v1/fill/w_980,h_613,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_9e638cc9881c4a4080637eb7497a39a4~mv2.jpeg)
2 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Nazieha Jasnie, seorang pelajar jurusan bakeri dan pastri dari Kolej Vokasional Keningau, Sabah, telah terpilih sebagai satu daripada 50 peserta terbaik Anugerah Global Student Prize yang dianjurkan oleh Varkey Foundation dari United Kingdom.
Anugerah ini adalah anugerah pelajar paling berprestij di dunia yang menawarkan wang berjumlah AS$ 100,000 atau RM454,000 kepada juara.
Nazieha merupakan satu-satunya pelajar dari Malaysia yang berjaya melayakkan diri bagi meraih anugerah tersebut pada tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, terdapat lebih dari 3,851 pencalonan dari 122 buah negara dan hanya 50 yang terbaik disenarai pendek untuk anugerah ini.
Nazieha menggunakan kemahiran yang dipelajari dalam bidang bakeri untuk melaksanakan projek komuniti yang disasarkan kepada golongan ibu terutamanya mereka yang berpendapatan rendah.
Beliau mengajar kaum wanita cara-cara menyediakan kuih dan kek daripada bahan-bahan yang mudah didapati bagi membolehkan mereka menjana pendapatan sendiri.
Projek tersebut bertujuan untuk memberi peluang kepada ibu-ibu untuk menambah pendapatan keluarga dan meningkatkan kualiti hidup mereka.
Selain itu, Nazieha juga memulakan perniagaan biskut sendiri iaitu “Tia Cookie” dan berjaya menggunakan keuntungan perniagaan untuk menanggung perjalanannya ke Bali, Indonesia, pada tahun 2022 untuk menyertai pertandingan inovasi secara bersemuka.
Dalam pada itu, beliau juga aktif melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti pengumpulan dana untuk membantu pelajar-pelajar lain menyertai pertandingan kemahiran di Sarawak dan Semenanjung dengan penjualan roti dan makanan panas.
Nazieha melahirkan rasa gembira kerana berjaya tersenarai sebagai finalis anugerah paling berprestij buat pelajar tersebut. Dia menganggap pengiktirafan itu sebagai bukti bahawa pendidikan vokasional sangat relevan pada zaman ini.
Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Christine Stanislaus Kinsik berkata, beliau berbangga dengan pencapaian pelajar tersebut dan beliau yakin pencapaian itu mampu membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan kolej vokasional di negara ini.
Comments