top of page
nabalunews

Pelajar mengandung atau bersalin tidak boleh dinafikan hak ambil SPM – Menteri Pendidikan




13 Januari 2025


PORT DICKSON: Pelajar perempuan yang mengandung atau bersalin tetap berhak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tegas Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.


Beliau menekankan bahawa pendidikan adalah hak semua pelajar dan usaha memastikan tiada yang tercicir mesti diteruskan, termasuk mereka yang berkahwin atau mempunyai anak pada usia remaja.


"Perjuangan ini perlu diteruskan kerana soal pendidikan adalah sangat penting. Tidak mengapa jika mengandung atau bersalin, tetapi SPM tetap perlu diambil," katanya dalam forum Majlis Konvensyen Wanita Pakatan Harapan Negeri Sembilan semalam, lapor Berita RTM.


Dalam ucapannya, Fadhlina turut menggariskan kepentingan meminda Akta Pendidikan 1996 untuk mewajibkan pendidikan hingga peringkat menengah sebagai langkah utama.


"Saya juga ingin memastikan pindaan terhadap umur perkahwinan terus menjadi keutamaan. Mengapa? Kerana ada anak perempuan yang tidak dapat hadir ke SPM akibat perkahwinan atau mengandung pada usia yang terlalu muda seperti 17 tahun," tambah beliau.


Pindaan Akta Pendidikan 1996, yang pada masa ini hanya mewajibkan pendidikan selama enam tahun di peringkat rendah, dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Februari depan.

Tags:

Comments


bottom of page