Pelajar pakai kostum KKK untuk tugasan akademik – UiTM
- nabalunews
- 7 hours ago
- 2 min read

16 April 2025
SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjelaskan tindakan sekumpulan pelajarnya berpakaian kostum seperti ahli kumpulan Ku Klux Klan (KKK) adalah sebahagian sesi pembentangan tugasan akademik.
Dalam satu kenyataan, UiTM berkata tugasan berkenaan dilakukan oleh pelajar Pusat Asasi UiTM Cawangan Selangor, Kampus Dengkil, bagi kursus ‘Contemporary Global and Legal Issues’.
Katanya, tugasan berkenaan bertujuan menggalakkan pemikiran kritikal dan kesedaran pelajar terhadap isu-isu hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.

“Dalam sesi itu, pelajar telah memilih untuk membentangkan isu berkaitan diskriminasi kaum dan kebencian berasaskan warna kulit, yang merupakan antara pelanggaran hak asasi manusia yang pernah berlaku di beberapa negara.
“Kostum serta elemen visual digunakan bertujuan membantu meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap topik yang dibentangkan, serta memberi gambaran lebih menyeluruh dari perspektif sejarah dan global,” katanya.
Menurut universiti itu lagi, pendekatan visual yang digunakan adalah sebahagian daripada kaedah pedagogi bagi menyokong penyampaian berimpak tinggi dalam kelas.
“Ianya selaras dengan objektif kursus yang mendorong pemikiran analitik serta kesedaran sivik dalam kalangan pelajar,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, pensyarah dan pihak fakulti bertanggungjawab turut memastikan pembentangan dijalankan secara terkawal serta belandaskan prinsip akademik, tanpa menyentuh sensitiviti berkaitan agama, budaya dan kaum.
Katanya, tiada sebarang elemen penghinaan terhadap mana-mana agama disebut atau dibincangkan sepanjang sesi tersebut berlangsung.
Penjelasan UiTM itu susulan penularan video memaparkan pelajar mengenakan kostum menyerupai KKK sambil memegang salib, yang mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial.
“Pihak universiti sentiasa menitikberatkan nilai sejagat seperti toleransi, hormat-menghormati dan kepekaan antara buday dalam semua aktiviti akedemi dan kokurikulum.
“Institusi ini kekal komited terhadap pendekatan pendidikan bertanggungjawab, beretika, dan berorientasikan pemikiran kritikal demi membentuk generasi pelajar yang matang dan peka terhadap isu global,” katanya.
Sehubungan itu, UiTM menyeru semua pihak agar menilai insiden sedemikian dalam kerangka akademik dan tidak menafsirkannya di luar konteks asal, selaras dengan semangat pendidikan inklusif serta dinamik yang menjadi tunjang pengajian tinggi negara.
Comments