Pelajar PKK Laksana Program CSR Cemerlang di Kolam Ginorowong, Kota Belud
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

21 April 2025
KOTA BELUD: Seramai 26 orang pelajar bersama seorang pensyarah pengiring dari Politeknik Kota Kinabalu (PKK) telah melaksanakan satu Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama komuniti di Kolam Ginorowong, Tambulion Ulu, pada 19 April lalu. Program ini dijalankan bersama Koperasi Komuniti Tambulion Ulu Kota Belud Berhad.
Program ini bertujuan untuk memenuhi syarat penilaian bagi kursus Business Ethics, melibatkan pelajar Semester 4 Diploma Pemasaran dari PKK. Melalui pendekatan lapangan ini, para pelajar dapat mengaplikasikan ilmu secara praktikal dan membina hubungan erat dengan masyarakat setempat.
Pelajar-pelajar telah dibahagikan kepada lima kumpulan tugasan yang ditentukan oleh pihak koperasi. Aktiviti-aktiviti utama merangkumi penanaman bunga, penyediaan dan penulisan papan tanda, pembinaan pondok pendaftaran, penyimenan lantai tangki serta kerja-kerja mencantas rumput di kawasan sekitar Kolam Ginorowong.

Cherrycia Yong, selaku wakil pensyarah pengiring, menekankan bahawa program sebegini memberi peluang kepada pelajar untuk memahami cabaran sebenar dalam masyarakat.
“Ia bukan sekadar aktiviti sosial, malah satu platform pembelajaran luar bilik kuliah yang amat berkesan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Program CSR, Haikal Mazlan turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga Kampung Tambulion Ulu atas sambutan yang amat hangat. Menurut beliau, “Kehadiran kami disambut dengan tangan terbuka, dan pengalaman di sini akan kami kenang sampai bila-bila.”

Turut hadir memeriahkan majlis ialah PPM DUN Kadamaian, Saikom Watis; Ketua Kampung Tambulion Ulu, Daiman Basinau; Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) , James Jarit; serta para pemimpin komuniti dan ahli koperasi.
Program yang berlangsung sehari ini diakhiri dengan sesi bergambar antara pelajar PKK dan komuniti kampung sebagai tanda kenangan. Pengerusi Koperasi, dalam ucapannya, mengucapkan terima kasih atas usaha dan dedikasi pelajar-pelajar PKK serta berharap program sebegini akan menjadi acara tahunan.
Menurut pengerusi Koperasi Komuniti Tambulion Ulu, Boniface Joran, sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick berupa Dewan Terbuka Tamu Desa Komuniti Tambulion Ulu turut memberikan nilai tambah kepada fasiliti kampung dan membuka peluang pembangunan ekonomi komuniti setempat.
Boniface turut menjelaskan, kolam Ginorowong kini tampil lebih menarik dan kemas dengan wajah baharu hasil sentuhan CSR dari pelajar-pelajar PKK. Harapan tinggi agar lebih banyak institusi pendidikan dan agensi lain akan mengikuti jejak yang sama dalam menjalin kerjasama sosial bersama komuniti luar bandar.
Comments