top of page
nabalunews

Pelaksanaan JS-SEZ perkukuh kerjasama Malaysia-Singapura




7 Januari 2025


PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) merupakan satu kerjasama luar biasa di peringkat serantau.


Jelas beliau, kejayaan tersebut bukan sekadar di peringkat nasional sebaliknya turut memberi impak di peringkat global.


"Singapura kekal sebagai pelabur dua hala utama dan rakan dagang utama Malaysia. Kami berhasrat untuk memperkukuh hubungan ini khususnya melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, yang saya anggap sebagai langkah luar biasa di peringkat serantau dan antarabangsa.


"Saya juga berharap dapat bekerjasama erat dengan Perdana Menteri (Singapura) Lawrence Wong untuk memastikan kejayaan inisiatif ini, bukan sahaja untuk Johor dan Malaysia, tetapi juga Singapura serta rantau ini secara keseluruhan," kata Anwar pada sidang media bersama rakan sejawatannya itu sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 di sini hari ini.


Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa pertemuan bersama Wong membincangkan isu kerjasama keselamatan maritim dan sumber air.


Jelas beliau, Malaysia telah membuka semula rundingan berkaitan air dengan Singapura termasuk membincangkan parameter yang sedang dikaji pada masa ini.


Anwar memaklumkan pasukan teknikal akan menentukan parameter yang sesuai dalam perbincangan tersebut.


"Pasukan teknikal akan membincangkan parameter dan kami turut meneliti cadangan khususnya oleh Kerajaan Sarawak mengenai eksport tenaga menggunakan RDC Cable melalui Semenanjung ke Singapura," katanya.


Terdahulu, kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman melibatkan bidang pendidikan, tenaga, ekonomi dan JS-SEZ yang dijangka memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara.

Comentarios


bottom of page