Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 berpotensi tingkat hasil negara - TPM Fadillah
30 Oktober 2024
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040) yang dilancarkan pada Selasa dijangka mampu menyumbang secara signifikan kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada masa hadapan.
Beliau, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, menjelaskan bahawa air berpotensi menjadi aset ekonomi yang penting kerana kemampuan sektor ini untuk menjana pendapatan adalah besar. Namun, beliau mengakui bahawa pengurusan air pada masa ini masih belum memberikan pulangan ekonomi yang optimum.
Sehubungan itu beliau menekankan bahawa agenda transformasi AIR 2040, yang akan dilaksanakan melalui empat fasa di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 hingga Ke-15, bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memastikan keterjaminan bekalan air negara.
Transformasi ini akan dilaksanakan dengan menerapkan lapan pemacu perubahan, yang dirangka untuk memperkasakan dan memperkukuh landskap sektor air negara secara menyeluruh dan holistik.
“Menerusi AIR 2040 tersebut, sebanyak 106 projek yang boleh dilaksanakan dalam RMK12 (dari 2021-2025) untuk jangka masa terdekat.
“Secara keseluruhan sehingga empat fasa ini, ada jangka segera, sederahana dan panjang. Jadi sebanyak 87 strategi dengan 600 sasaran serta 601 KPI (petunjuk prestasi utama) untuk empat fasa itu sehingga 2040,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (Air 2040) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini pada Selasa.
Fadillah berkata untuk fasa pertama ini (RMK12) kementeriannya memfokuskan mempergiat Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM), manakala fasa kedua (RMK13, 2026-2030), fokus bagi membangunkan teknologi tempatan setanding standard antarabangsa.
Bagi fasa ketiga tersebut (RMK14, 2031-2035), beliau menjelaskan ia akan menumpukan kepada mencapai ekonomi bidangan, manakala fasa terakhir (RMK15, 2036-2040) pula akan memfokuskan kepada Malaysia sebagai hab industri air serantau terutama dalam konteks ASEAN.
Fadillah turut memaklumkan kajian AIR 2040 telah dilaksanakan sejak tahun 2020 oleh Kementerian Ekonomi, yang menjadikan Akademi Sains Malaysia (ASM) sebagai rakan strategiknya.
“Ia mempunyai dua objektif kajian iaitu bagi memastikan keselamatan dan kemampanan air serta menjadikan air sebagai peluang ekonomi,” katanya.
Sementara itu, Fadillah berkata kerajaan berhasrat membuka bidaan daripada sektor swasta sebagai pendekatan pembiayaan alternatif bagi membantu mengurangkan kos yang ditanggung kerajaan bagi menangani isu air tidak terhasil (NRW) yang tinggi.
Beliau berkata sebahagian besar projek berkaitan air masih dibiayai oleh kerajaan dan oleh itu untuk memastikan kelangsungan dan kemampanan sektor air, terdapat keperluan untuk mengimbangi antara pembiayaan awam dan swasta.
“Kami membuka ruang kepada sektor swasta untuk menawarkan penyelesaian kepada kerajaan, termasuk pakej pembiayaan agar kami bukan sahaja dapat selesaikan isu yang dihadapi sekarang, tetapi diharapkan dapat mempercepatkan penyelesaiannya.
“Kami bercakap tentang menggantikan paip lama dengan paip baharu. Anggaran kami jika kerajaan untuk melaksanakannya, ia akan menelan belanja kira-kira RM10 bilion,” katanya.
Fadillah berkata purata NRW nasional ialah kira-kira 35 peratus daripada jumlah pembekalan air, tetapi terdapat beberapa negeri yang melepasi 50 peratus, sehingga menyebabkan kerajaan menanggung kos pendapatan kira-kira RM2 bilion setahun.
Comments