top of page

Pelan Pembangunan Kadamaian cakupi keperluan pembangunan kampung seluruh Kadamaian termasuk Kg Piak

  • nabalunews
  • 6 days ago
  • 2 min read


4 April 2025


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, Pelan Pembangunan Kadamaian 2020-2035 mencakupi keperluan pembangunan kampung seluruh Kadamaian termasuk Kg Piak.


Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, Pelan Pembangunan Kadamaian itu akan terus menjadi panduan utama bagi memastikan pembangunan menyeluruh bagi seluruh kawasan itu.


“Ini adalah komitmen berterusan saya sebagai wakil rakyat Kadamaian untuk menyediakan pelbagai keperluan pembangunan kampung.

“Banyak keperluan pembangunan di seluruh Kadamaian dan setiap kampung mempunyai isu yang mencabar. Kampung Piak misalnya yang terletak jauh dan terpencil di Kadamaian.


“Sebelum ini, kita telah menyalurkan peruntukan untuk menyelenggara jalan raya dan beberapa keperluan kecil yang lain. Pada tahun lalu, saya telah mendapatkan peruntukan sebanyak RM500,000 daripada Kementerian Ekonomi untuk membina jalan konkrit menuju kawasan perumahan kampung ini yang telah dilaksanakan sepenuhnya.


“Bagaimanapun, jarak perhubungan kampung masih panjang yang perlu dibina konkrit termasuk bekalan elektrik dan telekomunikasi,” katanya ketika berucap pada Pesta Kaamatan kampung itu, di sini, hari ini.

Bagi memenuhi keperluan penduduk Kg.Piak, Ewon turut mengumumkan kelulusan peruntukan khas menteri sebanyak RM50,000 untuk memulakan pembinaan dewan terbuka di kampung itu.


Selain itu, beliau juga menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 di bawah program Sentuhan Kasih ADUN Kadamaian bagi penyediaan generator dan lampu solar untuk kegunaan balai komuniti kampung tersebut.


Mengenai inisiatif kerajaan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), khususnya melalui Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara, Ewon berkata, pelbagai skim pembiayaan dan program keusahawanan termasuk premis Tamu Desa telah dilaksanakan di Sabah termasuk di kawasan Kadamaian.

“Semuanya bertujuan memperkukuh sektor keusahawanan dan koperasi di kawasan luar bandar,” katanya.


Dalam kesempatan itu, beliau juga memberi sokongan kepada golongan ibu dan anak-anak muda yang menjalankan perniagaan sempena sambutan Pesta Kaamatan, sebagai usaha menggalakkan aktiviti ekonomi tempatan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page