Pelan Pembangunan Penampang dijangka siap Oktober ini: Ewon
28 April 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick berkata, Pelan Pembangunan Penampang yang dilaksanakan Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) telah dimulakan pada bulan ini (April) dan dijangka siap dalam tempoh enam bulan.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, apabila siap kelak, pelan pembangunan itu akan menjadi dokumen penting untuk pembangunan Penampang.
“Saya berharap semua kampung di seluruh Penampang memberikan input kepada kandungan aspirasi rakyat yang akan dibukukan dan dokumentasikan dalam Pelan Pembangunan Penampang.
“Antara input yang akan dimasukkan dalam pelan pembangunan itu ialah mengenai pembangunan jalan raya, air, elektrik, liputan telekomunikasi, pendidikan, hospital, pemilikan tanah, pembangunan keusahawanan, klinik, pelancongan dan pertanian.
“Saya percaya ini akan menjadi perincian besar dalam pelan tersebut. Oleh itu saya berharap penduduk Penampang dapat memberikan kerjasama kepada IDS dan Pejabat Daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Santai Bersama Penduduk Kampung dan guru-guru SK Terian dan SK.Buayan sempena lawatannya ke kampung berkenaan, di sini, kelmarin.
Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, laporan pelan pembangunan itu akan dibentangkan dalam Mesyuarat Tindakan Daerah Penampang sebelum dijadikan dokumen kerajaan dan dijangka dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hujung tahun ini.
“Selepas itu menjadi tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat Penampang untuk memastikan pelan ini menjadi input Penampang kepada Rancangan Malaysia seterusnya dan Rancangan Pembangunan Sabah,” katanya.
Beliau berkata, pelan pembangunan itu akan memuatkan semua keperluan rakyat Penampang yang dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan berkenaan.
“Saya akan berusaha mendapatkan peruntukan sewajarnya untuk melaksanakan apa yang dimasukkan dalam pelan tersebut,” katanya.
Mengenai lawatan di Kg.Terian, Ewon berkata, beliau menerima pelbagai aduan mengenai keperluan kampung itu termasuk penambahbaikan kemudahan-kemudahan sedia ada seperti Klinik Desa, sekolah, rumah ibadat, asrama sekolah dan pusat komuniti.
Selain itu katanya, penduduk kampung juga mahu isu-isu pemilikan tanah di kampung itu diselesaikan dan jalan raya dinaiktaraf.
“Saya meninjau sendiri bangunan Klinik Kesihatan Kg.Terian, sekolah, asrama sekolah, rumah ibadat dan pusat komuniti. Saya mendapati memang ada keperluan untuk menaiktaraf kemudahan-kemudahan sedia ada selain keperluan pembinaan baru beberapa kemudahan yang telah disampaikan kepada saya termasuk pemilikan tanah.
“Sebagai wakil rakyat, tanggungjawab saya mendengar, melihat dan meneliti permasalahan dan keperluan yang disampaikan kepada saya di kampung-kampung seluruh daerah Penampang,” katanya.
Ewon berkata, beliau juga merancang untuk mendapatkan bantuan daripada agensi-agensi di bawah kementeriannya untuk melaksanakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk menambahbaik kemudahan di SK.Terian Penampang.
Pada majlis itu beliau menyampaikan sumbangan sejumlah RM15,000 masing-masing RM5,000 untuk pembangunan gereja, sekolah dan Kampung Terian.
Ewon turut merasmikan Projek Air Graviti SK Terian yang dilaksanakan Lions Club dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan yang lain.
Dalam lawatan ke Kg.Buayan, Ewon juga menyampaikan sumbangan sejumlah RM15,000 masing-masing RM5,000 kepada SK.Buayan, Gereja Katolik St.Pope John Paul II dan tabung kebajikan Kg.Buayan.
Turut serta dalam lawatan itu Pegawai Daerah Penampang Francis Chong, Penolong Pegawai Daerah Penampang (Pembangunan) Stanley Sikolis, wakil Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Air, Kelab WRS Penampang dan Lions Club.
Yorumlar