top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pelan Pembangunan Penampang inisiatif Ewon rujukan tambahan MPPg: Francis Chong



4 Oktober 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Pelan Pembangunan Strategik Daerah Penampang 2024-2035 yang diinisiatifkan oleh Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick akan menjadi rujukan tambahan membangunkan daerah ini, kata Presiden Majlis Perbandaran Penampang (MPPg), Francis Chong.


Beliau berkata, antara lima strategi yang digariskan dalam pelan pembangunan itu ialah pengwujudan pusat perniagaan utama, penjanaan ekonomi tempatan, pembangunan penempatan, persekitaran bersih dan hijau serta mewujudkan tadbir urus efektif dan efisien.


“Banyak cadangan dan pendapat para pemimpin masyarakat, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan bagaimana kita hendak membangunkan Penampang.


“Kita juga ada rujukan-rujukan sedia ada yang mungkin sudah lama, ada juga yang sudah tidak relevan dan ini boleh kita gunakan sebagai satu rujukan dan yang terbaru adalah buku yang dikeluarkan oleh IDS iaitu “Pelan Pembangunan Strategik Daerah Penampang 2024-2035”.


“Buku (pelan) ini dikeluarkan dengan kerjasama Ahli Parlimen Penampang YB Datuk Ewon Benedick yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis Perbandaran Penampang Sesi 2024-2026, di ITCC, di sini, kelmarin.


Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.


Mengenai caj letak kereta yang menjadi rungutan dan menimbulkan rasa tidak puas hati sebahagian penduduk Penampang, Francis berkata, beliau memahami kerisauan itu terutamanya mereka yang menggunakan kenderaan setiap hari untuk bekerja dan menjalankan urusan harian.

“Oleh itu, pihak Majlis sedang mengkaji dan mempertimbangkan untuk menurunkan caj letak kereta di kawasan-kawasan tertentu.


“Kami sedang mengkaji pelbagai faktor termasuk kos penyelenggaraan, keperluan penduduk dan kesan ekonomi secara keseluruhan.


“Matlamat kami adalah untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan kesejahteraan dan kemudahan penduduk Penampang terjaga,” katanya.


Francis berkata, beliau telah mengadakan beberapa sesi perjumpaan dan perbincangan dengan penduduk dan pemegang taruh untuk mendapatkan pandangan dan cadangan.


“Pandangan dan cadangan pelbagai pihak penting agar kita dapat mencapai satu keputusan yang adil dan seimbang untuk kebaikan penduduk Penampang,” katanya.

Comments


bottom of page