Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 memastikan keberkesanan kualiti pembelajaran murid : Robert
21 January 2025
Oleh Wartawan Nabalu News
KENINGAU: Aspirasi sistem dan aspirasi murid yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 memberi fokus utama dalam memastikan keberkesanan kualiti pembelajaran murid dan guru serta pemimpin sekolah.
Pembelajaran di sekolah akan lebih berkesan apabila ia dipacu dengan pengajaran yang berkualiti serta suasana pembelajaran yang ceria dan kondusif.
Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik berkata, situasi inilah sebenarnya yang dihasratkan oleh kerajaan dalam melahirkan modal insan yang seimbang dan harmonis.
Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis penyerahan pendingin hawa dan majlis apresiasi Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkor sesi 2024 - 2025 di dewan sekolah itu baru-baru ini.
Menyentuh majlis itu Robert yakin penerima anugerah merupakan modal insan yang telah lahir di SK Bingkor.
Sehubungan dengan ini beliau merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua penerima anugerah dan tidak lupa juga kepada semua guru-guru yang telah melahirkan murid-murid cemerlang di sekolah ini.
"Semoga majlis seumpama ini dapat menyuntik semangat seluruh warga sekolah dalam membudayakan kecemerlangan yang berterusan" katanya.
Pada masa sama Robert berharap agar budaya pencapaian cemerlang ini dapat diterapkan dalam minda, jiwa dan sanubari setiap warga SK Bingkor.
Beliau turut mengharapkan warga pendidik SK Bingkor akan meneruskan usaha untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan Pendidikan di sekolah ini dan dapat mengekalkan hubungan baik dengan pihak PIBG sekolah.
"Saya yakin warga pendidik SK Bingkor sudah pasti sentiasa cakna dan prihatin dengan isu-isu semasa yang dihadapi oleh murid atau ibubapa serta bentuk tindakan proaktif dan efektif untuk membantu menyelesaikan isu tersebut" jelas Robert.
Comments