Pelancong China antara lima cedera
2 Februari 2025
SEMPORNA: Lima individu termasuk dua pelancong warga China cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 38, Jalan Semporna-Tawau, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, semua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan sudah dihantar ke Hospital Semporna untuk menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Sabri Zainol berkata, kemalangan membabitkan bas pelancong Toyota Hilux dan Perodua Bezza.
Katanya, sebelum kejadian, bas pelancong bergerak dari arah Semporna menuju ke Tawau, manakala kereta Perodua Bezza dan pacuan empat roda dari arah bertentangan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Bezza yang dipandu lelaki berusia 26 tahun masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan bas persiaran.
“Bas pelancong berkenaan kemudiannya dilanggar oleh pacuan empat roda terlibat,” katanya dalam kenyataan media,” hari ini.
Menurutnya, semua kenderaan mengalami kerosakan teruk, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
“Ketiga-tiga pemandu kenderaan terbabit serta dua pelancong warga China mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Semporna untuk menerima rawatan.
“Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut kaedah Rule 10 166/59,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Sabri menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya memandu dengan lebih cermat, berhati-hati dan bertimbang rasa semasa di jalan raya.
Comments