Pelanggaran sempadan maritim Sabah oleh Filipina, nota bantahan dihantar kepada PBB
16 November 2024
KOTA KINABALU: Nota bantahan telah dihantar kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan dua akta maritim baharu Filipina yang didakwa melanggar sempadan maritim Sabah.
Pada masa sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berharap isu berkenaan dapat diselesaikan dalam konteks keluarga ASEAN.
Beliau berkata, perkara itu sudahpun diketahui oleh kerajaan Malaysia untuk diambil tindakan selanjutnya.
"Kita sudah maklumkan dan pihak Kerajaan Persekutuan sudah maklum perkara ini dan kita telah menghantar nota bantahan kepada Bangsa-Bangsa Bersatu kerana sempadan Maritim yang dibuat oleh Filipina itu masuk ke sempadan negara kita, jadi kita serahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikannya secara keluarga ASEAN," katanya.
Hajiji berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Tangan Emas Ketua Menteri Sabah 2024 sempena Majlis Penutupan Worldskills Malaysia Sabah 2024, di Institut Kemahiran Mara (IKM) Kota Kinabalu, pada Sabtu.
Hajiji bagaimanapun menolak kemungkinan kewujudan akta tersebut akan mengancam keselamatan di Sabah.
Khamis lalu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin memaklumkan bahawa Malaysia menghantar nota bantahan kepada Filipina berkaitan dua akta maritim baharu negara itu yang melanggar sempadan maritim Sabah.
Menurutnya, Akta Zon Maritim Filipina (Philippine Maritime Zones Act) dan Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina (Philippine Archipelagic Sea Lanes Act) yang ditandatangani Presiden Ferdinand Marcos Jr pada 8 November lalu disahkan telah melangkaui Peta Baharu Malaysia 1979 yang dibuat berdasarkan undang-undang antarabangsa.
Comments