Pelbagai inisiatif digital jadikan KK bandar raya pintar
3 Disember 2024
KOTA KINABALU: Bandar raya Kota Kinabalu bakal menjadi sebuah bandar raya pintar menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif digital yang akan dilaksanakan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), menerusi kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata kerjasama yang dijalin menerusi satu perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani di antara DBKK dan SKMM itu bakal memacu Kota Kinabalu ke arah sebuah bandar raya pintar, lestari dan maju setanding bandar raya global.
Beliau berkata, sebagai ibu negeri, Kota Kinabalu bukan sekadar pusat pentadbiran tetapi juga pusat ekonomi, pelancongan dan inovasi teknologi yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Sabah.
“Kerjasama di antara DBKK dan SKMM menerusi MoU yang dimeterai hari ini adalah langkah besar ke arah merealisasikan visi Sabah sebagai negeri yang memacu pembangunan mampan melalui digitalisasi.
“Kota Kinabalu akan menjadi model bandar raya pintar yang memperlihatkan bagaimana teknologi dapat memperkasa kehidupan rakyat dan menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
“Melalui MoU ini, pelaksanaan beberapa projek berskala besar akan dilakukan, antaranya kesalinghubungan digital yang menyeluruh, aspek keselamatan awam dan infrastruktur pintar seperti pemasangan kamera litar tertutup atau CCTV, digitalisasi pentadbiran dan perkhidmatan bagi menjadikan pentadbiran lebih cekap, mengurangkan birokrasi serta budaya digital dan ekonomi tanpa tunai,” katanya seperti dilaporkan Info X.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani MoU di antara DBKK dan SKMM di SICC, di sini, pada Selasa.
MoU itu ditandatangani Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah dan Pengerusi SKMM, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Hadir sama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri yang juga menteri bertanggungjawab terhadap DBKK, Datuk Abidin Madingkir; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Hajiji percaya MoU itu adalah permulaan era baharu pembangunan Sabah dengan Kota Kinabalu menjadi contoh kepada bandar lain di negeri ini.
“Usaha ini bukan saja memberi impak kepada bandar raya tetapi juga kepada seluruh Sabah. Dengan menjadikan Kota Kinabalu sebagai hab digital dan inovasi, kita membuka peluang untuk kolaborasi pelbagai sektor termasuk pelancongan, pendidikan dan perniagaan.
“Ini akan menarik lebih banyak pelaburan asing, mencipta peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat kita,” katanya.
Dalam konteks kerajaan negeri katanya, sebanyak RM41.75 juta diperuntukkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Sabah Skills and Training Centre (SSTC) dan Sabah Creative Economy and Innovation Center bagi melaksanakan kursus penguasaan bahasa, latihan kemahiran sains, teknologi dan inovasi pada tahun depan.
“Ini seiring dengan komitmen kerajaan negeri untuk memberi penekanan kepada agenda pendigitalan termasuk kemahiran sains, teknologi dan inovasi.
“Kerajaan negeri juga menyediakan sebanyak RM10.5 juta sebagai usaha pendigitalan Perkhidmatan Awam Negeri pada tahun depan.
“Ini termasuklah sistem pengurusan sumber manusia (SM2), peningkatan Portal dan Perkhidmatan Digital Sabah serta inisiatif tambahan lain yang akan menyokong transformasi pendigitalan sektor awam.
“Dalam usaha meningkatkan capaian liputan internet di seluruh negeri, kerajaan negeri merancang untuk memasang kemudahan internet teknologi Starlink di 300 lokasi di seluruh Sabah yang masih belum mendapat liputan internet, pada tahun depan,” katanya.
Comments