top of page
  • nabalunews

Pelbagai pihak tampil bantu mangsa kebakaran di Kampung Penangah, Tongod


20 September 2024


KUNDASANG: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.


Kesulitan hidup yang dialami lebih 300 mangsa kebakaran di Kampung Penangah, Tongod yang kehilangan harta benda dan tempat tinggal dalam tragedi pada 15 September lalu itu mendorong pelbagai pihak untuk melakukan inisiatif bagi meringankan beban mereka.


Satu program misi bantuan kemanusiaan telah dianjurkan di Kundasang, Ranau hari ini dengan kerjasama beberapa kelab dan persatuan.


Antara pihak yang terlibat ialah Kelab Permotoran Siou Otolikudan Borneo (SO), yang diketuai oleh pengerusi kelab, Mujin Soborong dan Wilfred Bakait sebagai wakil untuk bahagian kenderaan.


Dalam misi bantuan kemanusiaan ini, Kelab SO telah melancarkan kempen pengumpulan sumbangan berupa pakaian di sekitar kampung-kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.


Antaranya ialah Kampung Lobong-Lobong, Piasau, Melangkap, Bundu Paka dan juga Kampung Sarang di kawasan DUN Pintasan.


Kesemua pakaian yang telah dikumpulkan, kemudiannya diserahkan kepada pasukan dari Kundasang untuk dibawa ke Kampung Penangah, sebagai sebahagian daripada misi kemanusiaan tersebut.


Antara kumpulan dan kelab yang turut serta dalam misi kemanusiaan ke Kampung Penangah ialah Kundasang Highland Golf and Recreation Club (KHGRC), Mesilou Volunteer Club (MEVOC), Kinabalu Red Army dan Kundasang Highland Four Wheel Drive Club (KH4WDC).


Program ini diharap dapat membantu meringankan beban mangsa kebakaran di Kampung Penangah, Tongod serta mengukuhkan lagi semangat kesukarelawanan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat.


Ketika ini, kesemua 303 mangsa kebakaran termasuk 96 kanak-kanak, 13 bayi, 28 warga emas dan 2 orang kurang upaya (OKU) ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Penangah, Tongod.

Comments


bottom of page