Pelbagai program keusahawanan khusus untuk rakyat Sabah: Ewon
13 Disember 2024
KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kementeriannya menyediakan pelbagai program keusahawanan khusus untuk rakyat Sabah.
Beliau berkata, bagi tujuan ini kementeriannya mengambil pendekatan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara bagi memperkasakan inisiatif keusahawanan dan koperasi
di Sabah dan Sarawak.
“Tanpa menjejaskan fokus sedia ada kementerian di seluruh negara, adalah menjadi hasrat KUSKOP supaya fokus tambahan dapat diberikan kepada usahawan dan koperasi di Malaysia Timur merangkumi Sabah dan Sarawak.
“Dalam konteks negeri Sabah, beberapa langkah telah dirancang dan sedang dilaksanakan, antaranya mengukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah melalui pembentukan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Sabah dan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Daerah;
“Kementerian juga melaksanakan program khusus untuk komuniti usahawan
di Sabah seperti Program Pembangunan Premis Tamu Desa dan Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) PLUS,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan Belanjawan 2025, di Dewan Negara, di sini, kelmarin.
Beliau berkata demikian bagi menjawab perkara yang dibangkitkan Senator Datuk Nelson Wences Angang mengenai perancangan kementerian untuk memperkasakan rakyat Sabah melalui peluang keusahawanan.
Ewon berkata, bagi memudahkan capaian maklumat agensi-agensi di bawah KUSKOP, kementeriannya telah membuka dan meningkatkan bilangan cawangan agensi seperti INSKEN, Pernas dan TEKUN Nasional di Sabah.
Selain itu katanya, kementerian melalui SME Corp juga akan membuka hab perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) di Sabah.
Beliau berkata, dari segi pembiayaan oleh agensi-agensi pembiaya KUSKOP di Sabah, dalam tempoh Januari hingga November 2024 seramai 50,791 usahawan dan koperasi telah menerima pembiayaan berjumlah RM694.8 juta.
“Kementerian juga telah memperkenalkan Skim Pembiayaan Usahawan Tamu oleh TEKUN Nasional khusus untuk para peniaga dan penjaja di Pasar Tamu Negeri Sabah.
“Sehingga November 2024, seramai 819 usahawan menerima pembiayaan skim ini, bernilai RM3.2 juta,” katanya
Comments