top of page
  • nabalunews

Pemain industri pembinaan disaran terus patuh pada undang-undang sedia ada

12 September 2024


SANDAKAN: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Cawangan Sandakan melaksanakan Operasi Penguatkuasaan Bersepadu (OPB) bersama beberapa agensi penguatkuasaan di sebuah kawasan tapak pembinaan di Sandakan hari ini.


Pengurus CIDB Cawangan Sandakan,  Ts. Poul Joannes berkata, seramai 52 anggota terlibat dalam OPD berkenaan yang melibatkan CIDB Cawangan Sandakan, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Akademi Binaan Malaysia (ABM).


"Menerusi OPB ini, kita telah mengeluarkan 17 notis, kompaun, pendakwaan dan amaran selain satu kontraktor utama dan tiga subkontraktor serta pekerja di tapak binaan berkenaan juga telah diperiksa," katanya dalam satu kenyataan media selepas menyertai operasi itu di Sandakan.


Tambah Poul, pihak CIDB turut mendapati kontraktor utama gagal mematuhi Seksyen 33A(6) iaitu mengambil atau menggaji pekerja binaan mahir tanpa diakreditasi oleh CIDB di bawah Akta 520.


Manakala 16 orang pekerja juga diperiksa masing-masing seorang warga tempatan dan selebihnya pekerja asing.


"Kita mendapati tiga personel itu tidak berdaftar dan 13 lagi belum diakredit," katanya.


Poul berkata, OPB berkenaan mewujudkan kerjasama antara jabatan yang menguatkuasakan peraturan atau undang-undang masing-masing di tapak binaan.


Ia agar tugas-tugas penguatkuasaan menjadi lebih mudah dan efektif serta memberi kesedaran dan mendidik semua pemain-pemain industri pembinaan agar mematuhi keperluan perundangan dan prosedur di tapak bina terutamanya di bawah Akta 520 dan akta berkenaan.


Selain tindakan dari CIDB, Majlis Perbandaran Sandakan juga mengeluarkan satu amaran, JKKP (2 notis), JKNS (2 notis), JTK (tiga notis) PERKESO (satu notis) selain pihak Jabatan Kesihatan memeriksa kawasan takungan nyamuk aedes.


Sementara itu, dalam perkembangan lain,katanya, nilai projek binaan yang didaftarkan di bahagian Sandakan yang melibatkan daerah Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Tongod dan Telupid telah dicatatkan sebanyak RM2.5 billion pada tahun lepas.


Sementara sehingga hari ini, bagi suku tahun kedua 2024, nilai berkenaan dianggarkan RM888 juta.


Manakala 22 kertas siasatan telah dibuka terhadap kontraktor bagi pelbagai kesalahan dan 22 kes telah dikompaun selain dua kes penyediaan laporan bagi prosiding tindakan tatatertib bagi tahun 2023.


Bagi tahun ini pula, sehingga kini, 13 kertas siasatan telah dibuka, 9 dikompaun dan 4 penyediaan laporan prosiding tindakan tatatertib pelbagai kesalahan.

Comentarios


bottom of page