Pemaju digalakkan pasang panel solar dalam projek perumahan baharu - Fadillah
29 Oktober 2024
KUALA LUMPUR: Kerajaan menggalakkan pemaju perumahan untuk memasang panel solar di bumbung dalam setiap projek perumahan baharu sebagai usaha menyokong komitmen Malaysia untuk mencapai sifar pembebasan gas rumah hijau menjelang 2050.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang memberi fokus kepada tenaga bersih dan mesra alam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Sime Darby Property Bhd kini menjadi antara peneraju dalam industri dengan melaksanakan projek perintis pemasangan panel solar di bumbung dalam pembangunan hartanah mereka.
Langkah ini diharap dapat menjadi contoh kepada pemaju lain dalam usaha bersama ke arah pembangunan yang lebih lestari dan mesra alam.
“Ini ialah satu daripada program untuk meletakkan (panel) solar pada bumbung dan kemudian mereka akan membekalkan kembali kepada grid. Hasilnya akan dikongsi termasuk dengan pemilik-pemilik rumah,” katanya seperti dilaporkan Bernama pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, pada Isnin.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) mengenai inisiatif menggalakkan pemasangan panel solar pada bumbung dalam projek perumahan.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kejayaan projek Sime Darby itu akan dijadikan sebagai dasar untuk dilaksanakan di seluruh negara.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan meneruskan program e-Rebat dengan peruntukan RM70 juta menerusi Belanjawan 2025 dalam usaha mewujudkan kesedaran berhubung kecekapan tenaga serta membantu golongan memerlukan.
Beliau berkata mereka yang membeli peralatan diluluskan pada kadar lima dan empat bintang akan diberikan rebat berkenaan.
“Mereka boleh menuntut pada SEDA (Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia).
“Diharapkan dengan program ini, bukan sahaja kesedaran dari segi kecekapan tenaga, tetapi juga diharap dapat membantu khususnya golongan yang memerlukan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung usaha menggalakkan penggunaan peralatan elektrik cekap tenaga dalam kalangan masyarakat khususnya golongan B40.
Menerusi Belanjawan 2025, e-Rebat sehingga RM70 juta disediakan bagi menggalakkan pengguna dan industri membeli kelengkapan elektrik cekap tenaga.
Comments