top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pemakaian pelitup muka, pengasingan kes Covid-19: Sabah setuju SOP baharu KKM


4 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah bersetuju dengan SOP baharu yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung pemakaian pelitup muka dan pengasingan kes positif Covid-19.


Menteri Penyelaras Covid-19 Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, berkata SOP baharu itu akan berkuat kuasa mulai 5 Julai.


Beliau berkata, mengikut SOP baharu itu, individu dikehendaki memakai pelitup muka bagi kes positif Covid-19 dan ketika berada di fasiliti kesihatan semasa berhadapan atau mengendalikan pesakit.


"Manakala, pemakaian pelitup muka amat digalakkan berdasarkan penilaian kendiri bagi individu berisiko tinggi, individu yang bergejala respiratori dan semasa berada dalam perkhidmatan pengangkutan awam," katanya.


Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.


Beliau juga berkata, arahan pengasingan kes disahkan Covid-19 diteruskan dengan tempohnya dipendekkan dari tujuh hari kepada lima hari dari onset gejala pertama.


"Ini adalah berdasarkan kajian yang mengatakan bahawa infektiviti kes Covid-19 tinggi pada lima hari pertama dari onset gejala dengan viral load yang tinggi pada tempoh tersebut," katanya.


Selain itu, beliau berkata, status Kawasan Tempatan Jangkitan di Malaysia yang akan tamat pada 30 Jun 2023 dilanjutkan untuk tempoh enam bulan lagi, iaitu sehingga 31 Disember 2023.


"Ia bagi membolehkan penguatkuasaan beberapa peruntukan di dalam Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) (Fasa Peralihan ke Endemik) 2022," katanya.


Comments


bottom of page