top of page
nabalunews

Pemandu bas sekolah tiada lesen, positif dadah

15 Oktober 2024


KALABAKAN: Pemandu bas sekolah yang terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Batu 3, Jalan Tawau-Kalabakan, semalam, dikenal pasti positif dadah selain tidak mempunyai lesen memandu.


Dalam kejadian jam 1.45 petang itu, penunggang motosikal, remaja lelaki berusia 19 tahun maut di lokasi kejadian selepas terperosok di bawah bas sekolah berkenaan.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil siasatan awal, bas sekolah berkenaan yang dipandu suspek berusia 37 tahun bergerak dari arah Kampung Kapilit menuju ke Kalabakan.


Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi, bas sekolah berkenaan bertembung dengan sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan.


“Akibat kejadian itu, mangsa yang menunggang motosikal terperosok di bawah bas dan terpaksa dikeluarkan oleh pasukan bomba.


“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Jasmin berkata, siasatan lanjut mendapati pemandu bas terlibat berada di bawah pengaruh dadah.


Katanya, suspek terus ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Sehubungan itu, Jasmin meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu untuk tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.


Katanya, maklumat boleh disalurkan ke pejabat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk membantu siasatan.

Commenti


bottom of page