Pemandu lori 10 tan maut dalam nahas di jalan Kg Mengaris
11 Januari 2025
KOTA MARUDU: Seorang lelaki berusia 68 tahun maut selepas lori 10 tan bermuatan pasir yang dipandunya terbabas sendiri di tepi jalan Kampung Mengaris, pagi tadi.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Mohd Hasbi Hajat, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 7.49 pagi.
“Seramai 10 anggota dari BBP Kota Marudu digerakkan ke lokasi kejadian. Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi menyelamat ditamatkan pada jam 9.10 pagi setelah pihak bomba memastikan tiada risiko lain di lokasi kejadian.
コメント