Pemandu Perodua Kancil Maut
nabalunews

26 Mac 2025
SANDAKAN: Seorang pemandu Perodua Kancil maut selepas kenderaan dipandunya merempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang berhenti di tepi jalan di Batu 33, Jalan Beluran-Sandakan, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 6.20 pagi itu, kemalangan disebabkan mangsa cuba mengelak sebuah kereta dari arah bertentangan yang cuba memotong kenderaan dihadapannya.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, mangsa lelaki warga asing yang berusia 38 tahun memandu seorang diri ketika kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, sebuah kereta dari arah bertentangan dikatakan cuba memotong kenderaan di hadapannya dan masuk di lorong mangsa.
“Oleh kerana jarak terlalu dekat, mangsa terpaksa mengelak ke kiri jalan sebelum merempuh kereta Mitsubishi ASX yang berhenti di tepi jalan.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Duchess Of Kent untuk proses bedah siasat.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Comments