top of page
nabalunews

Pembangkang Boleh Kemuka Draf MoU Baharu - TPM Fadillah

19 September 2024


KUCHING: Pihak pembangkang boleh mengemukakan cadangan baharu atau memberikan maklum balas terhadap draf Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan bagi Ahli Parlimen Pembangkang.


Timbalan Perdana Menteri yang juga Ketua Whip Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata draf MoU sedia ada boleh dijadikan sebagai asas perbincangan.


Beliau turut menjelaskan bahawa setakat ini, pihak kerajaan belum menerima sebarang maklum balas atau cadangan daripada pihak pembangkang bagi meneruskan perbincangan berhubung MoU tersebut.


Menurutnya, pembangkang mempunyai ruang untuk membentangkan idea baharu yang boleh memperbaiki MoU yang telah dirangka.


“Draf MoU sedia ada adalah asas untuk kita (meneruskan) perbincangan. Jika (pembangkang mahu MoU baharu) mereka perlu kemukakan maklum balas mereka … tapi sebelum ini mereka ada buat kenyataan untuk menolak, bila dah tolak kita terima (pendirian mereka),” katanya seperti dilaporkan Bernama.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian 'International Social Security Management Conference 2024' di sini hari ini.


Pada 16 September lalu, Kerajaan Perpaduan telah mendedahkan dua draf MoU yang dirangka bersama sebagai bukti ketelusan dalam perundingan mengenai peruntukan untuk Ahli Parlimen Pembangkang.


Fadillah berkata keputusan itu dibuat susulan kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa Perikatan Nasional (PN) menolak cadangan MoU berkenaan.


Semalam, Ketua Whip Perikatan Nasional Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata Kerajaan Perpaduan diminta menyediakan draf MoU baharu selain menubuhkan jawatankuasa khusus bagi membincangkan mengenai MoU antara kerajaan dan pembangkang.

留言


bottom of page