Pembangunan Keusahawanan, Koperasi Beri Manfaat Besar kepada Kudat – Verdon

25 Mac 2025
KUDAT: Pembangunan keusahawanan dan koperasi yang giat dijalankan di daerah ini telah memberi manfaat besar kepada rakyat, kata Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda.
Verdon berkata, pelbagai projek yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensi di bawahnya telah membantu memperkukuhkan ekonomi tempatan, terutamanya dalam kalangan usahawan kecil.
Katanya, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk pembinaan tamu desa dan pembangunan koperasi yang memberi peluang kepada usahawan kecil untuk berkembang.

"KUSKOP di bawah kepimpinan menterinya, Datuk Ewon Benedick, telah memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan ekonomi setempat.
"Kami amat menghargai inisiatif ini kerana ia memberi peluang kepada lebih banyak Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk maju," katanya.
Verdon berkata demikian dalam ucapannya semasa Majlis Ramah Mesra dan Berbuka Puasa Bersama Gerakan Koperasi Kudat anjuran KUSKOP.
Terdahulu, Verdon turut menyertai Ewon dalam sesi tinjauan hasil pelaksanaan beberapa projek pembangunan di Kudat.
Antara lokasi yang dikunjungi adalah Tamu Desa Rondomon, Koperasi Wanita Dinazang Inovatif Kudat Berhad, Tamu Desa Pekan Sikuati, serta Koperasi SMK Abdul Rahim Kudat Berhad.
"Lawatan ini bertujuan untuk melihat sendiri kesan positif inisiatif yang telah dilaksanakan serta mengenal pasti sebarang penambahbaikan yang boleh dilakukan.
"Sebagai wakil rakyat di sini, saya amat bertegas dalam memantau ketelusan perlaksanaan setiap projek agar rakyat mendapat manfaat sepenuhnya," katanya.
Dalam sesi lawatan tersebut, Verdon turut membawa Ewon meninjau tapak cadangan bagi pembinaan premis Tamu Desa Tomorungus.
Menurutnya, projek ini dijangka memberi manfaat besar kepada usahawan tempatan dengan menyediakan ruang niaga yang lebih selesa dan sistematik, sekaligus merancakkan aktiviti ekonomi di daerah ini.
"Dengan pelbagai inisiatif yang sedang dan bakal dilaksanakan, saya yakin pembangunan keusahawanan di Kudat akan terus berkembang dan memberi manfaat kepada lebih ramai penduduk," katanya.
Commentaires