Pembangunan Pusat Data Bagan Datuk dapat tingkatkan ekonomi digital dan cipta 64,000 peluang pekerjaan
12 DIsember 2024
KUALA LUMPUR: Projek pembangunan Pusat Data di Bagan Datuk, Perak, yang dirancang untuk dimulakan pada suku ketiga 2025, dijangka mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pengkalan data serantau sekaligus memacu transformasi ekonomi digital negara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata projek itu bukan sahaja memperkukuh ekonomi digital, malah menjadi pemangkin kepada transisi penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) di Malaysia.
"Perkembangan ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai lokasi Pusat Data paling pesat berkembang di rantau ini. Ia bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi digital, tetapi juga menjadi pemangkin kepada transisi negara ke arah penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) atau renewable energy," katanya dalam ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOU) antara MARA Incorporated Sdn Bhd dan FELCRA Berhad di ibu negara.
Pusat Data yang akan dibangunkan oleh MARA Incorporated Sdn Bhd dan FELCRA Berhad itu dijangka membuka lebih 64,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi serta menyediakan infrastruktur kritikal untuk menyokong operasi perniagaan moden.
Projek tersebut turut memberi peluang kepada sektor perkhidmatan kewangan, perdagangan elektronik, dan industri teknologi tinggi untuk berkembang di Malaysia.
Dalam perkembangan lain, Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, memaklumkan bahawa Majlis Amanah Rakyat (MARA) berjaya menurunkan kadar Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) daripada dua digit kepada satu digit.
"Apa yang dilakukan bukan sekadar tindakan undang-undang tetapi penyitaan wajib dilakukan sebab pinjaman bukan geran, bukan bantuan tetapi pinjaman yang perlu dibayar balik.
"...kerana kita perlukan modal pusingan untuk memberikan peluang kepada peminjam lain untuk maju dalam bidang masing-masing. Kita tidak pilih bulu untuk mengenakan tindakan kerana ini wang rakyat," tegasnya.
Comments