Pembangunan rangkaian rel kereta api Malaysia - China diharap direalisasikan dalam tempoh terdekat - Anthony Loke
18 Disember 2024
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan berharap perancangan untuk membangunkan rangkaian rel kereta api yang menghubungkan Malaysia dan China dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat, dalam usaha memanfaatkan hubungan serantau.
Menterinya, Anthony Loke berkata walaupun rancangan itu masih di peringkat awal, kementerian berhasrat untuk mempercepatkan usaha berkenaan
Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra pada Isnin turut membincangkan kepentingan pembinaan infrastruktur rel.
"Jika dilihat pada kenyataan bersama Malaysia dan Thailand semalam, ada rujukan mengenai usaha untuk meningkatkan lagi hubungan rangkaian rel dan jalan raya.
"Sememangnya kita mahu membina hubungan yang lebih baik dengan Thailand, khususnya dalam aspek rangkaian rel.
"Jika kesalinghubungan dengan Thailand dapat diperkukuh dan Thailand pula berhubung dengan Laos serta seterusnya China, ia pasti membantu merealisasikan rangkaian rel Pan Asia," katanya seperti dilaporkan Bernama.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 di sini pada Selasa.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Hairil Yahri Yaacob, Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.
Anwar dan rakan sejawatnya dari Thailand semalam telah mengarahkan agensi berkaitan untuk mempercepatkan kemajuan dalam cadangan rangkaian rel berkembar antara Ipoh-Padang Besar dan Padang Besar-Hat Yai serta penjajaran kereta api berkelajuan tinggi di kedua-dua negara.
Ia selaras dengan aspirasi bersama mempromosikan hubungan lebih erat dan meningkatkan aliran rentas sempadan bagi barangan serta penumpang antara Malaysia dan Thailand, seterusnya di seluruh rantau ini.
Kedua-dua pemimpin turut menekankan kepentingan mempercepatkan rundingan memorandum persefahaman (MoU) berkenaan pengangkutan rentas sempadan bagi memudahkan pergerakan barangan dan penumpang.
Sementara itu, Loke berkata rangkaian rel Pan Asia sebenarnya sudah wujud, termasuk ASEAN Express, kereta api kargo antara Malaysia dan China.
Namun, katanya ia belum berkembang secara meluas kerana beberapa cabaran termasuk isu kastam dan pelepasan barangan.
"Antara cabaran utama ialah proses pelepasan barangan yang turut dibincangkan bersama Thailand. Kita berharap dapat memudahkan proses ini dan menjadikannya lebih cekap bagi mempercepatkan urusan transit barangan," katanya.
Menurutnya, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan perdagangan ASEAN menerusi pengoptimuman rangkaian rel.
"Ketersambungan adalah faktor utama. Tanpa sistem pengangkutan yang efisien, perdagangan tidak dapat berjalan dengan lancar.
"Oleh itu, Kementerian Pengangkutan sentiasa menyokong usaha meningkatkan perdagangan kerana kita adalah pemudah cara utama.
"Ketika ini, kebanyakan perdagangan dijalankan melalui laluan maritim. Bagaimanapun, kita berharap lebih banyak barangan dapat diangkut melalui kereta api selaras dengan agenda Malaysia memacu kesalinghubungan ASEAN," katanya.
Comments