Pembangunan Sukan di Kadamaian: meningkatkan kesejahteraan dan kesihatan masyarakat
5 November 2024
KOTA BELUD: Penyelia Unit Pemimpin dan Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Joel Deukin, yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, menyerahkan sumbangan peralatan sukan dan rekreasi kepada belia Kampung Bukit Bendera, Taginambur, Kota Belud.
Sumbangan ini, yang disampaikan kepada wakil komuniti kampung tersebut, Matiah Mudin, hari ini bertujuan untuk memperkasa aktiviti sukan dan rekreasi dalam kalangan belia setempat.
Matiah, selaku wakil komuniti Kampung Bukit Bendera, sebelum ini telah menghantar permohonan rasmi kepada Ewon untuk mendapatkan sumbangan peralatan sukan seperti jaring bola sepak dan kelengkapan lain yang dapat menyemarakkan aktiviti sukan di kampung tersebut.
Menurut Joel, sumbangan ini adalah sebahagian daripada inisiatif khas Ewon yang menumpukan kepada pembangunan sukan dan rekreasi di kawasan Kadamaian, terutamanya bagi golongan belia.
Peralatan yang disumbangkan ini akan dimanfaatkan bersama oleh belia Kampung Bukit Bendera dan Kampung Singgahmata, untuk memupuk semangat kebersamaan serta gaya hidup aktif di kalangan penduduk.
Matiah menyampaikan penghargaan atas keprihatinan Ewon yang sentiasa komited terhadap kesejahteraan rakyat Kadamaian, khususnya dalam menyokong pembangunan belia melalui sukan dan rekreasi.
Sumbangan ini diharapkan dapat menjadi dorongan kepada lebih banyak aktiviti kesukanan yang berterusan, meningkatkan kesihatan fizikal dan sosial masyarakat Kadamaian.
Comments