top of page
nabalunews

Pembangunan sukan di Kota Belud terus diperkasakan



12 Disember 2024


KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, terus menunjukkan komitmen beliau terhadap pembangunan sukan di Kota Belud dengan menyampaikan sumbangan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Kota Belud bagi tujuan membantu pasukan sekolah itu menyertai Karnival Hoki 5s' kategori bawah 12 tahun (U12) di Tawau.


Sumbangan disampaikan hari ini oleh Clarence Somuil, Pemaju Masyarakat di Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, kepada Azlan Mariduan, jurulatih hoki SK Pekan yang mewakili Pengurus Pasukan Hoki SK Pekan, Tony Konsulan.


Sumbangan tersebut bagi tujuan membantu pasukan sekolah itu menyertai Karnival Hoki 5s' Tawau kategori bawah 12 tahun (U12) di mana 32 murid, 2 guru pengiring dan 9 orang ibubapa turut sama ke Tawau.


Tony berkata sumbangan oleh Ewon ini adalah sangat bermakna untuk memastikan persediaan pasukan berjalan lancar.


Kejohanan itu disasarkan menjadi platform bagi SK Pekan untuk mencapai prestasi cemerlang.


"Kami menyasarkan pasukan hoki kategori U12 dan U10, lelaki dan perempuan, untuk berada di kedudukan tiga terbaik di Sabah dalam kejohanan ini," kata Tony ketika dihubungi oleh Nabalu News.


Beliau juga memuji inisiatif Ewon yang terus menyokong aktiviti sukan di kawasan Kota Belud, meskipun SK Pekan tidak berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.


Katanya usaha Ewon ini dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperkasakan pendidikan melalui sukan.


"Keprihatinan beliau bukan sahaja memberikan peluang kepada pelajar untuk menyerlahkan bakat mereka, tetapi juga memupuk nilai seperti disiplin, semangat berpasukan, dan daya juang.


"Usaha ini menjadi contoh bagaimana kolaborasi antara pemimpin masyarakat dan sekolah mampu menghasilkan impak positif," katanya.


Tony turut merakamkan penghargaan kepada Ewon atas dedikasi beliau terhadap pembangunan bakat muda, sekali gus mengangkat nama Kota Belud di peringkat negeri.


Katanya dengan komitmen seperti ini, sukan di Kota Belud dijangka terus berkembang pesat, menjadikan daerah ini sebagai hub pencapaian sukan di Sabah.

Comments


bottom of page