top of page
nabalunews

Pembasmian kemiskinan terus jadi agenda utama kerajaan - Ahmad Zahid




17 Oktober 2024


KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan terus memperkukuh usaha membasmi kemiskinan, seiring dengan aspirasi Desa MADANI serta misi utamanya untuk memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup yang lebih baik dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat, khususnya komuniti luar bandar.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan bahawa kerajaan komited dalam usaha mengurangkan jurang ketidaksamaan serta memperkasakan masyarakat desa. melalui pelbagai inisiatif pembangunan yang menyeluruh


Katanya kerajaan berhasrat untuk menyediakan lebih banyak peluang ekonomi, memperluaskan akses kepada pendidikan berkualiti, serta meningkatkan kemudahan infrastruktur asas di kawasan pedalaman.


Langkah ini bertujuan untuk memastikan bahawa masyarakat desa tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara, dan mampu menikmati taraf hidup yang lebih mapan serta berdaya saing dalam era moden ini.


“Tiada siapa yang harus ketinggalan dalam arus kemajuan negara. Melalui kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat, saya yakin kita mampu membina sebuah negara yang lebih inklusif dan adil. Setiap usaha yang kita lakukan hari ini akan membuka peluang dan harapan baharu kepada mereka yang memerlukan,” katanya.


Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian dalam kenyataan di laman Facebook bersempena Hari Pembasmian Kemiskinan Antarabangsa 2024, hari ini.


Ahmad Zahid berkata sambutan Hari Pembasmian Kemiskinan Antarabangsa pada 17 Oktober setiap tahun, merupakan satu peringatan bahawa kemiskinan satu isu global yang perlu ditangani secara tuntas.

Comments


bottom of page