top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pembayaran interim satu bentuk pengiktirafan hak 40% Sabah - UPKO

14 September 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, pembayaran khas interim untuk Sabah dan Sarawak daripada RM300 juta tahun ini kepada RM600 juta mulai tahun depan satu pengiktirafan kepada tuntutan Hak 40% Sabah.


Sambil mengalu-alukan penambahan pembayaran interim itu, beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keputusan itu.


“Ini merupakan satu bentuk perakuan kepada hak 40 peratus Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


“Dengan adanya perakuan atau pelaksanaan pembayaran interim, kita (kerajaan) sudah mengiktiraf hak itu dalam perlembagaan, yang akan berlaku seterusnya ialah perbincangan berterusan antara kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan


“Saya percaya kerajaan yang ada pada hari ini membuka ruang seluas-luasnya kepada perbincangan ke atas isu ini (Hak 40 peratus).


“Saya berada di kerajaan sebelum ini, saya tidak nampak perbincangan itu seluas seperti ini (kerajaan sekarang) dan saya ingin mengesahkan bahawa hampir setiap minggu perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dibincangkan di Kabinet Persekutuan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan bersama Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil kepada bekas Ketua Biro NSTP, Roy Goh, di Kg.Dabak di sini, hari ini.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, perkara lain yang belum dimuktamadkan melibatkan mekanisma yang perlu dibincang dan dipersetujui bersama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.


“Sebagai rakan pimpinan daripada Sabah, saya ingin menyumbang ke arah pemuktamadan mekanisma yang akan dibincangkan.


“Seperti yang kita maklum Kerajaan Sabah hanya mengemukakan tuntutan secara rasmi pada 18 Jun lalu dan saya fikir dalam tempoh ini akan ada perbincangan sama ada di peringkat Jawatankuasa Kerja atau diangkat ke Majlis Khas Tindakan Pelaksanaan MA63.


“Bagi perkara yang tidak dapat dimuktamadkan di Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63, akan dibincangkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) dan Ketua Menteri Sabah (Datuk Hajiji Haji Noor) iaitu tiga pemimpin yang menganggotai peringkat teratas.


“Perbincangan ini sesuatu yang sangat menggalakkan dan satu perkembangan baik susulan daripada tuntutan ke atas hak 40 peratus Sabah,” katanya.


Ketika ditanya sama ada perkara yang belum dimuktamadkan diberikan ‘time frame’, Ewon berkata: “Untuk mana-mana perkara yang belum mencapai kata persetujuan, kita tidak tetapkan time frame untuk membuka ruang perbincangan yang lebih luas antara kerajaan persektuuan dengan kerajaan negeri”.


Beliau berkata, semakin banyak perbincangan mengenai perkara-perkara yang belum dimuktamadkan, adalah semakin baik.


Mengenai kunjungan itu, Ewon menghargai kesudian Fahmi mengadakan lawatan kerja di Penampang dan menyantuni komuniti media di sini.


“Semoga kunjungan dan sumbangan ini dapat memberi sokongan moral kepada saudara Roy yang telah banyak menyumbang kepada negara melalui penulisan berita.


“Pejabat Ahli Parlimen Penampang juga turut menyampaikan sumbangan kepada saudara Roy Goh semasa kunjungan ini,” katanya.

Opmerkingen


bottom of page