top of page

Pembentukan Jawatankuasa UPKO CLC Bandau Mantapkan Persiapan PRN

nabalunews


27 Januari 2025


Oleh: Wartawan Nabalu News


KOTA MARUDU: Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (Communities Liaison Committee, CLC) Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau ditubuhkan secara rasminya.


Mesyuarat pembentukan jawatankuasa pada 23 Januari lalu itu dipengerusikan Suzie Salapan yang terus dilantik sebagai Ketua CLC DUN Bandau.


Suzie berkata, beliau amat menghargai sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh semua pihak khususnya jawatankuasa terhadap kepimpinannya.


Katanya, dia bertekad untuk memastikan gerak kerja CLC Bandau terus diperkukuhkan demi kepentingan UPKO di kawasan berkenaan.


“Penubuhan CLC Bandau akan memperkukuhkan gerakan UPKO di DUN Bandau, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tahun ini.


"CLC Bandau komited untuk memperkasakan jentera parti di peringkat akar umbi. Kami akan memastikan persediaan menghadapi PRN dilaksanakan dengan teratur dan berkesan," katanya pada Majlis Pelancaran CLC DUN Bandau, semalam.


Turut hadir, Timbalan Ketua Bahagian UPKO Kota Marudu, Mat Lunad Agok, Setiausaha Bahagian Jomius Bisara dan Ketua Wanita Norisah serta beberapa Ahli Jawatankuasa Bahagian dan Ketua-Ketua Cawangan.


Menurutnya, penubuhan jawatankuasa ini juga menonjolkan usaha UPKO untuk merapatkan hubungan antara kaum di kawasan DUN Bandau, sekali gus meningkatkan kesepaduan masyarakat.


“Keberadaan pemimpin bahagian, keahlian baru dan sokongan yang diterima daripada komuniti dilihat sebagai petanda positif terhadap kekuatan UPKO di kawasan Kota Marudu.


“Langkah ini membuktikan kesungguhan parti dalam menyusun strategi dan persediaan untuk memastikan kemenangan pada PRN akan datang,” katanya.


Terdahulu, dalam majlis yang sama, UPKO Kota Marudu turut menerima borang keahlian baru daripada 31 orang dari Cawangan Kampung Kudar Tagaroh, DUN Bandau.


Langkah itu dilihat sebagai perkembangan positif bagi memperluaskan sokongan akar umbi terhadap UPKO di kawasan berkenaan.

Tags:

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page